SPAN lulus RM521.2 juta kepada AKSB

Akmal Nasrullah (dua dari kiri) melihat proses rawatan air di LRA Kampung Teluk.
Akmal Nasrullah (dua dari kiri) melihat proses rawatan air di LRA Kampung Teluk.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meluluskan peruntukan perbelanjaan modal sebanyak RM521.2 juta kepada Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) untuk tempoh operasi keempat (OP4) dan OP5 dari 2021 hingga 2024.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Kelantan mempunyai 41 loji rawatan air (LRA) yang menghasilkan bekalan sebanyak 525.9 juta liter sehari (JLH) manakala permintaan bekalan berjumlah 587 JLH.

“Ini menunjukkan bahawa terdapat defisit sebanyak 61.1 JLH dan antara masalah bekalan air yang dikenal pasti di negeri ini melibatkan pembinaan dan pembaharuan aset bekalan air yang tidak seiring dengan pertumbuhan pembangunan.

“Selainnya, sumber air tidak stabil dari segi kuantiti dan kualiti misalnya kekeruhan, kandungan logam seperti ferum dan mangan yang tinggi yang perlu diberikan perhatian khusus untuk diatasi,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke LRA Kampung Teluk di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, Kelantan juga tiada rizab margin menyebabkan masalah gangguan bekalan air atau tekanan air rendah selain kadar air tidak berhasil (NRW) tinggi sebanyak 53.7 peratus.

Akmal Nasrullah (dua dari kanan) melihat ke kawasan LRA Kampung Teluk.
Akmal Nasrullah (dua dari kanan) melihat ke kawasan LRA Kampung Teluk.

“Penggunaan sistem rawatan air yang berteknologi baharu masih belum membuktikan keberkesanannya menyebabkan LRA sedia ada tidak berkeupayaan untuk merawat air yang mematuhi standard kualiti air minum kebangsaan dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

“AKSB disaran menggunakan sistem rawatan air dan produk-produk perkhidmatan bekalan air yang diluluskan SPAN kerana terbukti keberkesanan dan diperakui oleh Badan Perakuan bertauliah,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, menurutnya, Task Force Bekalan Air Kelantan ditubuh untuk memastikan pemantauan lebih rapi ke atas pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI), pelaksanaan projek sumber, bekalan air dan pemantapan program pengurangan kadar NRW serta pematuhan indikator kualiti air AKSB.

“Antara projek-projek yang sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah di negeri ini ialah projek menaik taraf sistem proses LRA Merbau Chondong daripada 45 JLH kepada 70 JLH berjumlah RM28 juta.

“Pembinaan LRA Kampung Teluk (kos RM8.53 juta) berkapasiti 30 JLH dan isu utama loji ini tidak dapat beroperasi pada kapasiti penuh dengan pengeluaran semasa maksimum adalah sebanyak 13 JLH kerana masalah sumber air keruh dengan kandungan ferum dan mangan yang tinggi,” katanya.