Bekas setiausaha politik menteri kanan disyaki rasuah lulus projek RM80 juta

Kedua-dua suspek berbaju lokap SPRM ketika dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman pada Sabtu.
Kedua-dua suspek berbaju lokap SPRM ketika dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kanan antara dua individu direman disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.

Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki dipercayai ditahan pada Jumaat kira-kira jam 11 malam ketika memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.

"Suspek pertama yang merupakan bekas setiausaha politik berumur lingkungan 20-an bersama suspek kedua iaitu pemilik syarikat berumur lewat 50-an ditahan kira-kira jam 11 malam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

"Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan tersebut meminta dan menerima rasuah melalui syarikat suspek kedua daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah Halid telah membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari.

"Kedua-dua suspek direman bermula hari ini (Sabtu) sehingga 26 September ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!