Kuota ahli majlis PBT selesai dalam waktu terdekat - Suee Lim

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Suee Lim
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Suee Lim
A
A
A

SHAH ALAM - Kuota ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang belum dilantik dijangka dapat dimuktamadkan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam waktu terdekat.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pada masa ini, terdapat sejumlah kecil sahaja ahli majlis PBT itu yang belum dilantik berikutan terdapat isu kuota antara parti Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, lebih 90 peratus ahli majlis di 12 PBT di negeri ini telah dilantik dan dimuktamadkan.

"Semua ahli majlis PBT yang dilantik sudah mengangkat sumpah, manakala selebihnya pula akan menyusul selepas dilantik secara berperingkat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan memberitahu, pelantikan itu perlu dibuat segera bagi melaksanakan tanggungjawab membantu rakyat serta melicinkan lagi pentadbiran di setiap PBT.

"Kita tidak mahu (masalah pengagihan kuota) menjejaskan struktur pentadbiran PBT kerana sebahagian besar ahli majlis PBT sudah pun dilantik," tambah beliau.

Ditanya mengenai keputusan UMNO Selangor untuk menyerahkan semula kuota 20 jawatan ahli majlis PBT di negeri itu kepada PH, Suee Lim berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

Beliau berkata, apa jua cadangan dan pandangan daripada UMNO diteliti atas semangat 'setia kawan'.

Artikel Berkaitan:

"Perkara itu akan diperhalusi terlebih dahulu sebelum dibincangkan secara terperinci dan ia akan diputuskan sendiri oleh MB (Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari) kerana ia melibatkan semua komponen parti Kerajaan Perpaduan di negeri ini," tambah beliau.

Katanya, sebanyak 279 ahli majlis PBT di Selangor yang sebelum ini dianggotai oleh komponen PH.

"Dalam keadaan sekarang ini, kita ada rakan baru dalam Kerajaan Perpaduan (UMNO) dan ingin mencapai ke arah kaedah yang terbaik.

"Tiada satu kaedah yang boleh memuaskan semua pihak, tetapi saya yakin MB akan selaraskan untuk pastikan semua pihak persetujui perkara tersebut," ujarnya.