'UMNO Selangor kena muhasabah, sedar diri'

Dr Mohammad Tawfik Yaakub
Dr Mohammad Tawfik Yaakub
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Selangor perlu bermuhasabah dan sedar diri apabila mengemukakan tuntutan tidak masuk akal membabitkan 373 jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri itu.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, dengan berbekalkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dalam pilihan raya negeri Ogos lalu, parti itu sepatutnya tahu di mana kedudukan mereka.

“Bagi saya, ini tidak boleh dilakukan UMNO kerana ia seolah-olah mengugut Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan jawatan dengan memberi tawaran balik kepada PH.

“UMNO seperti tidak memahami secara dasarnya perpaduan dan kerjasama politik sepatutnya dibincangkan secara bersama termasuk sebanyak mana kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.

“Berbekalkan dua kerusi DUN yang dimiliki UMNO di Selangor, ia menggambarkan parti itu perlu muhasabah diri dan 20 ahli majlis PBT itu adalah apa yang sewajarnya mereka dapat,” katanya.Tambah Mohammad Tawfik, UMNO harus berpijak di bumi yang nyata dan melihat kekuatan mereka yang sebenar.

“Bagi saya, inilah bibit-bibit menunjukkan UMNO masih lagi tak sedar diri dan kena cepat muhasabah dan lihat kembali sokongan rakyat terhadap mereka.

“Saya nampak perkara ini seolah-olah api dalam sekam yang kalau tidak berjaya diselesaikan, pergolakan di peringkat bawahan akan berterusan.

“Apa sahaja dasar dan program yang akan dilaksanakan Kerajaan Perpaduan di Selangor ini, saya risau akan berlaku sabotaj dan ketiadaan sokongan yang kuat di peringkat akar umbi UMNO itu sendiri,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut tidak setuju dengan pendapat sesetengah pihak bahawa UMNO Selangor hanya mencuba nasib, malah katanya, tindakan itu hanya akan memakan diri.

Tegasnya, sikap sedemikian sekadar menjauhkan lagi rakyat dengan UMNO kerana ia membuktikan dakwaan UMNO semakin rosak dan tamakkan jawatan.