UMNO Selangor nafi tamak, serah balik 20 jawatan ahli majlis PBT

Megat Zulkarnain
Megat Zulkarnain
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO Selangor memutuskan untuk menyerahkan semula kuota 20 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu kepada parti sekutunya, Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, keputusan itu membuktikan UMNO Selangor tidak tamak jawatan atau mendesak PH memberi jawatan kepada mereka seperti dakwaan yang tersebar.

Namun, kata beliau, UMNO Selangor mahu sebanyak 373 jawatan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri tersebut diberikan kepada parti berkenaan.

"Keputusan sudah dicapai, kita serah semula semua jawatan ahli majlis yang telah ditawarkan kepada UMNO untuk diisi PH kerana kita menghormati parti itu yang menguasai kawasan bandar.

“Kita mahu PH menjaga bandar dan UMNO menjaga kawasan kampung. Kita akan serahkan keputusan ini kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi esok (Ahad) dalam pertemuan tertutup di Sepang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Retreat MCA Selangor yang diadakan di Wisma MCA pada petang Sabtu.

Media pada Jumaat melaporkan seorang pemimpin PH Selangor mendakwa ramai dalam gabungan itu tidak berpuas hati dengan pelbagai konsesi diberikan kepada UMNO, bekas seterunya yang kini menjadi rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan.

Pemimpin itu yang juga Exco Selangor berkata, UMNO ‘terlalu mendesak’ walaupun hanya menang dua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Megat Zulkarnain (tiga depan) pada sidang akhbar selepas majlis menyampaikan ucaptama Retreat MCA Selangor di Wisma MCA pada Sabtu.
Megat Zulkarnain (tiga depan) pada sidang akhbar selepas majlis menyampaikan ucaptama Retreat MCA Selangor di Wisma MCA pada Sabtu.

Pemimpin tersebut berkata, UMNO sebelum ini mendesak berhubung jawatan Exco serta ketua kampung dan terbaharu menuntut 20 jawatan ahli majlis PBT di Selangor.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain menjelaskan, ketetapan tersebut dibuat pada Mesyuarat UMNO Selangor yang dihadiri seluruh 22 bahagian parti berkenaan di Pejabat UMNO Shah Alam pada malam Jumaat.

Bagaimanapun, beliau turut melahirkan rasa terkilan kerana ketika rundingan jawatan ahli majlis PBT itu dibuat dan sehari sebelum UMNO mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu, PH telah mengadakan pelantikan ahli majlis PBT berkenaan.

Menurutnya, jumlah 20 jawatan itu ditawarkan oleh kerajaan negeri dan jumlah tersebut juga sebenarnya daripada 288 kerusi ahli majlis PBT keseluruhan di Selangor.

"Semua tidak tahu 20 ahli majlis PBT itu daripada 288 kerusi. Kalau dari segi peratus, ia hanya 7 peratus.

"Berbanding situasi di Melaka, PH ditawarkan 17 jawatan daripada 78 ahli majlis PBT. Kalau ikut peratus 20 peratus dan di sana PH menolak. Sehingga hari ini ahli majlis PBT di Melaka belum dilantik," tambahnya.

Megat Zulkarnain menegaskan, UMNO bukanlah tidak sedar diri atau membuat tuntutan melampau (demand) namun hanya mahu berunding atas semangat persahabatan.

“Jadi saya nak ingatkan ini bukan soal kita ‘demand’, soal tidak sedar diri tapi ia soal kita yang bersahabat. Kalau kita tamak, kita akan minta lebih (jawatan),” ujarnya.