Dua kementerian diarah duduk berbincang selesaikan isu air Sabah

Fadillah ditemui pemberita selepas lawatannya di ke LRA Telibong Fasa II di Tuaran.
Fadillah ditemui pemberita selepas lawatannya di ke LRA Telibong Fasa II di Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Kementerian Kerja Raya bersama agensi berkaitan duduk berbincang untuk mencari jalan penyelesaian berhubung isu bekalan air di negeri ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam itu berkata, perbincangan perlu dilakukan supaya dapat dikemukakan semula kepada kerajaan Persekutuan untuk dana tambahan bagi menyelesaikan isu air tersebut.

Menurutnya, projek yang sedang berjalan di Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Fasa II itu secara keseluruhannya hampir 70 peratus.

"Ada beberapa isu yang perlu kita selesaikan daripada taklimat tadi, apa yang saya arahkan ialah dua kementerian iaitu kementerian kami bersama dengan Kementerian Kerja Raya dan beberapa agensi yang terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk duduk berbincang bagaimana untuk kita cari penyelesaian terutama melibatkan aliran paip air.

"Jadi disebabkan projek ini akan memerlukan peruntukan tambahan dan daripada dua minggu itu nanti bila ada penyelesaian dengan anggaran kos serta sebagainya kita akan kemukakan balik kepada kerajaan Persekutuan sebab projek ini adalah melalui pinjaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan di ke LRA Telibong Fasa II di sini, pada Sabtu.

Tegasnya lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengamanahkannya untuk mencari jalan penyelesaian disebabkan masalah air di kawasan itu agak kritikal.

"Bukan saja untuk industri dan juga penduduk setempat tetapi juga kita tahu Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhadapan dengan masalah air ini.

Artikel Berkaitan:

"Loji ini salah satu yang akan membekalkan air ke sini jadi saya turun padang untuk melihat sendiri dan diharap dengan mesyuarat dalam tempoh dua minggu nanti kita dapat laporan daripada pasukan kita untuk cuba mencari penyelesaian," katanya.

Jelasnya lagi, anggaran kos mungkin akan berubah namun menyerahkan pasukan teknikal membuat kiraan anggaran terakhir mereka.

"Sebab nanti kaedah kerjanya pun mungkin berubah, ada paipnya terpaksa dibuat di bawah tanah dan terpaksa dibuat di atas. Sebab itu pasukan teknikal kena duduk bersama antara JKR dan juga JANS untuk mencari jalan penyelesaian," katanya.

Pada 9 Januari lalu, Perdana Menteri ketika bercakap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya telah mengarahkan supaya laporan terperinci berhubung kemajuan projek penyelesaian masalah gangguan bekalan air di UMS disediakan.

Ia susulan tular di media sosial isu bekalan air di universiti itu semakin meruncing apabila ketibaan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir disambut oleh mahasiswa UMS yang belum mandi kerana ketiadaan air.