Penduduk Gaza makan makanan dimasak seminggu sekali

Penduduk di utara Gaza, Palestin beratur untuk menunggu giliran mengambil air bersih sumbangan rakyat Malaysia yang diuruskan pihak Ihsan Johor.
Penduduk di utara Gaza, Palestin beratur untuk menunggu giliran mengambil air bersih sumbangan rakyat Malaysia yang diuruskan pihak Ihsan Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Penduduk di utara Gaza hanya dibenarkan memasak seminggu sekali bagi mengelak tempat memasak mereka dibom rejim zionis.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor (IJ), Farrah Faridah Baptist berkata, mereka dibenarkan memasak pada setiap Sabtu sebelum makanan diagihkan kepada lebih 2,000 penduduk daripada 350 keluarga di utara Gaza.

"Sebelum ini komuniti utara Gaza mempunyai empat tempat memasak tetapi tiga daripadanya sudah dibom rejim zionis pada November dan Disember lalu.

"Keadaan ini menyukarkan wakil Pertubuhan IJ yang terdiri daripada penduduk tempatan menyalurkan bantuan pihak kami.

"Hari lain tidak dibenarkan memasak kerana mereka masak menggunakan kayu api dan ini akan menghasilkan asap.

"Jika banyak asap di udara rejim zionis akan bom kawasan yang banyak asap itu.

"Ketika ini penduduk Gaza makan masakan dimasak sumbangan dana daripada rakyat Malaysia menerusi IJ pada Sabtu.

"Pada hari lain mereka terpaksa berpuasa selain makan rumput, bawang dan sayur-sayuran yang boleh dimakan secara mentah seperti lobak.

Artikel Berkaitan:

"Mereka terpaksa berbuat demikian untuk mengisi perut sejak perang Israel-Palestin tercetus 7 Oktober lalu," katanya selepas menerima replika cek daripada Komuniti Bangladesh Negeri Johor kepada JI di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn di sini pada Sabtu.

Farrah (dua dari kiri), Faridah (tiga dari kiri) dan Abbas (dua dari kanan) selepas penyerahan replika cek RM100,000 daripada Komuniti Bangladesh Negeri Johor kepada JI di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru pada Sabtu
Farrah (dua dari kiri), Faridah (tiga dari kiri) dan Abbas (dua dari kanan) selepas penyerahan replika cek RM100,000 daripada Komuniti Bangladesh Negeri Johor kepada JI di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru pada Sabtu

Beliau mewakili JI manakala Komuniti Bangladesh Negeri Johor diwakili Setiausahanya, Abbas Jalal Ahmad dan sumbangan sebanyak RM100,000 itu diuruskan pihak Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata).

Farrah berkata, selain bantuan makanan pada setiap Sabtu, pihaknya turut menyumbang bekalan air bersih kepada penduduk Gaza pada setiap hari untuk kegunaan harian mereka termasuk untuk diminum.

"Air bersih yang disumbangkan itu merupakan air laut yang disuling sebelum dihantar kepada mereka dalam lori tangki.

"Penduduk akan beratur panjang setiap hari dengan membawa bekas air dan botol.

"Mereka yang ambil air hari ini tidak dibenarkan ambil air esok," katanya.

Menurutnya, sejak perang tersebut, pihaknya menyalurkan lebih RM120,000 dengan setiap minggu RM10,000 disalurkan untuk makanan serta air bersih kerana itu merupakan keperluan mendesak ketika ini.

Abbas
Abbas

Sementara itu, Abbas berkata, sumbangan tersebut diberikan komuniti Bangladesh yang sudah menetap di negara ini terdiri daripada ahli perniagaan yang prihatin dan mahu meringankan beban penduduk Gaza.

"Kita akan bantu mana yang boleh, sebelum ini pihak kami ada menyalurkan bantuan RM200,000 kepada mangsa banjir di Temerloh, Pahang," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Permata, Faridah Hamzah berkata, bantuan tersebut diharap dapat membantu mengurangkan penderitaan penduduk Gaza yang terus ditindas dan dizalimi rejim zionis.

"Pada masa ini kita tumpu membantu penduduk Gaza terlebih dahulu.

"Selain itu, pihak Permata sedang mengumpul RM9,000 untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Selangor," katanya.