Sektor ekonomi gig tidak sesuai dijadikan kerjaya tetap

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing menurunkan kadar upah dijangka menyebabkan ramai penghantar makanan beralih kepada pekerjaan lain.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, sebenarnya ada antara penghantar makanan yang mempunyai kelayakan dan kelulusan dalam bidang tertentu yang boleh digunakan untuk menceburi bidang kerjaya baharu.

“Pada asasnya penghantar makanan ini memilih untuk bekerja dalam sektor ekonomi gig kerana nak bebas tanpa terikat dengan dasar kerja mana-mana syarikat. Tetapi dalam konteks yang berlaku sekarang, ia nampaknya menekan mereka.

“Jadi mereka mungkin beralih ke bidang lain dan sememangnya mereka disyorkan menceburi sektor-sektor pekerjaan lain. Ini kerana ekonomi gig sepatutnya hanya jadi penyelesaian jangka pendek sekiranya mereka hilang kerja sahaja dan tidak dijadikan pekerjaan sepenuh masa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Muhammad Daaniyall berkata, sektor ekonomi gig dilihat tidak sesuai dijadikan satu pekerjaan tetap kerana ia tidak mampan untuk masa depan pekerja.

Justeru, katanya, adalah lebih baik pekerja p-hailing mencari satu pekerjaan yang memberi jaminan dan lebih stabil mengikut kelayakan dimiliki.

Tindakan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing menurunkan kadar upah dijangka menyebabkan ramai penghantar makanan beralih kepada pekerjaan lain.
Tindakan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing menurunkan kadar upah dijangka menyebabkan ramai penghantar makanan beralih kepada pekerjaan lain.

“Saya percaya kebanyakan pekerja ekonomi gig ini mereka ada kemahiran, kelayakan atau kelulusan akademik tersendiri yang boleh dipadankan dengan pekerjaan-pekerjaan yang masih kosong seperti dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, mereka juga boleh mengikuti program latihan tertentu bagi memenuhi keperluan industri,” ujarnya.

Tambah Muhammad Daaniyall, isu kadar bayaran upah rendah yang menekan penghantar makanan itu tidak akan memberi kesan kepada kadar pengangguran negara sekiranya pekerja terbabit beralih kepada pekerjaan sektor lain.

Sebaliknya, ujar beliau, situasi berkenaan akan memberi impak lebih baik kepada pasaran buruh kerana ramai pekerja ekonomi gig membina kerjaya yang lebih memberikan jaminan kepada ekonomi mereka.