Rider dihimpit desakan hidup, ada terpaksa pinjam along

Penunggang p-hailing di Perak menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak pengurusan di Aeon Big Falim di Ipoh pada Jumaat. Gambar kecil: Khairul Akmal
Penunggang p-hailing di Perak menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak pengurusan di Aeon Big Falim di Ipoh pada Jumaat. Gambar kecil: Khairul Akmal
A
A
A

IPOH - "Rider bukan orang senang, kerja siang malam pun masih ada yang terpaksa buat pinjaman along untuk meneruskan kehidupan mereka."

Itu antara realiti kehidupan yang dihadapi sebahagian penunggang p-hailing di Perak.

Perkara itu didedahkan wakilnya, Khairul Akmal Razali susulan tindakan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing terbabit menurunkan kadar bayaran upah penunggang.

Khairul Akmal berkata, penurunan kadar upah itu boleh memberi implikasi lebih teruk kepada mereka kerana pendapatan terjejas berikutan sebahagian besar telah berkeluarga dan mempunyai komitmen masing-masing.

Menurutnya, sebelum ini caj upah bagi tiga kilometer pertama adalah sebanyak RM4, namun bermula 16 Januari lalu, caj baru ditetapkan diturunkan kepada RM3.50.

"Pada kadar sebelum ini pun, ada kalangan kami tidak mampu menampung kos sara hidup hingga perlu membuat pinjaman along.

"Jadi jika upah ini diturunkan, kemungkinan akan menjurus kepada keadaan lebih buruk," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak pengurusan p-hailing terbabit di Aeon Big Falim, di sini pada Jumaat.

Seramai 50 penghantar makanan turut hadir sebagai tanda sokongan terhadap penyerahan memorandum bantahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Khairul Akmal berkata, di Perak terdapat kira-kira 2,000 rider aktif sebagai penghantar makanan secara sambilan dan sepenuh masa.

Katanya, mereka akui kecewa kerana tidak menerima sebarang notis dan perincian jelas berhubung pengurangan kadar bayaran upah yang dilakukan syarikat tersebut.

"Kami harap pihak pengurusan dapat mempertimbangkan semula perkara ini.

"Jika pengurangan kadar bayaran ini kekal, berkemungkinan akan ada kalangan kami beralih kepada bidang pekerjaan lain yang mampu menjana pendapatan lebih baik," katanya.