Penduduk Orang Asli dakwa minum air najis

Sobri (tengah) menunjukkan air sungai yang keruh akibat projek kuari berhampiran kampung mereka.
Sobri (tengah) menunjukkan air sungai yang keruh akibat projek kuari berhampiran kampung mereka.
A
A
A

IPOH - Lebih 100 penduduk Orang Asli, Kampung Kelatap, Pos Perwor dekat Sungai Siput terdedah dengan ancaman penyakit apabila sumber air bukit kegunaan harian didakwa tercemar akibat projek kuari berhampiran penempatan mereka.

Penduduk, Sobri Abu Bakar, 39, mendakwa lebih dua tahun penduduk menggunakan air yang dicemari najis dan bahan buangan dari tandas milik rumah kongsi pekerja di tapak projek berkenaan.

"Dalam tempoh dua tahun itu, kami memasak dan minum air keruh dan bukan lagi jernih seperti sebelum ini. Sedih melihat tandak (takungan) air yang dibina untuk kegunaan kampung berubah warna.

"Sejak itu penduduk sering mengalami sakit seperti cirit-birit. Bila kami jejak hulu sungai, kami terkejut pencemaran ini bermula dari tapak projek bercampur air najis dan buangan yang mengalir masuk ke anak sungai," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerah memorandum pencemaran kuari Hutan Simpah Piah, Pos Perwor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Jumaat.

Penduduk, Ngah Heeri (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum pencemaran air di Kampung Kelatap, Pos Perwor kepada Nuruljaswa (kanan).
Penduduk, Ngah Heeri (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum pencemaran air di Kampung Kelatap, Pos Perwor kepada Nuruljaswa (kanan).

Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan SUK, Nuruljaswa Abd Hamid mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Sobri, penduduk kecewa apabila projek berkenaan beroperasi pada jarak satu kilometer daripada penempatan mereka sekali gus memberi kesan kepada aktiviti harian.

"Projek ini diluluskan April 2015 di kompartmen 103,106 dan 107 melibatkan kawasan seluas 60 hektar di Hutan Simpan Piah. Setakat yang kami tahu, mereka membawa keluar batu kapur atau silika.

Artikel Berkaitan:

"Kali ini tiada perbincangan dilakukan, tahu-tahu projek sudah dimulakan tiga tahun lalu apabila kelihatan lori-lori berat keluar melalui kawasan kampung," katanya.

Penduduk Orang Asli Kampung Kelatap menyerahkan memorandum berhubung pencemaran akibat kuari Hutan Simpah Piah, Pos Perwor
Penduduk Orang Asli Kampung Kelatap menyerahkan memorandum berhubung pencemaran akibat kuari Hutan Simpah Piah, Pos Perwor

Sementara itu, seorang penduduk, Ngah Heeri Ramli, 39, berkata, masyarakat dari suku Temiar itu mengharapkan kerajaan negeri lebih prihatin dengan keadaan yang dihadapi mereka.

"Kami yang tinggal di kaki bukit terpaksa menanggung kesannya daripada projek kuari ini. Kami tiada pilihan terpaksa ke Kampung Talang dan Kampung Saseh berhampiran untuk dapatkan air bersih.

"Ikut kepercayaan, bukit berkenaan adalah tempat pelaburan. Projek ini bukan sahaja tidak menghormati budaya dan adat masyarakat malah melanggar hak asasi kami. Kami tuntut agar projek ini dihentikan," katanya.

Dalam pada itu, pihak media berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan.

Projek kuari di Hutan Simpan Piah menyebabkan penduduk Kampung Kelatap menerima kesan pencemaran air. Foto: ihsan pembaca
Projek kuari di Hutan Simpan Piah menyebabkan penduduk Kampung Kelatap menerima kesan pencemaran air. Foto: ihsan pembaca