Maulidur Rasul: Jemaah menteri ajak umat Islam berselawat

Zahid antara Jemaah Menteri yang mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada semua umat Islam. - Foto Facebook Zahid Hamidi
Zahid antara Jemaah Menteri yang mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada semua umat Islam. - Foto Facebook Zahid Hamidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jemaah Menteri menerusi media sosial mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada semua umat Islam, dan mengajak seluruh ummah untuk berselawat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul, beliau berkata, sirah perjuangan dan kehidupan Rasulullah merupakan sumber rujukan amat berharga untuk semua pihak, dalam membangunkan sebuah negara.

"Kegigihan dan keteguhan baginda Nabi SAW di dalam menempuhi cabaran dan kesulitan menyebarkan risalah Islam dengan penuh tekad dan keberanian, menjadi contoh ikutan bahawa kita dituntut untuk sabar, tabah dan istiqamah, di dalam memimpin perubahan demi mencapai kejayaan yang diimpikan.

"Jadikan hari ini, hari untuk kita bersama renungkan dan menerapkan nilai-nilai mahmudah yang ada di dalam diri baginda Nabi SAW untuk dipraktikkan, khususnya di dalam mengukuhkan perpaduan, menghargai kepelbagaian yang Allah takdirkan dan menghormati kerencaman etnik, budaya dan agama di Malaysia,” katanya.