Bubu naga ancam sumber protein negara

Wan Muhammad Aznan ( kanan) dan Romli (kiri) menunjukkan sebahagian bubu naga dirampas dalam operasi khas sekitar perairan Kedah dalam operasi sejak Isnin.
Wan Muhammad Aznan ( kanan) dan Romli (kiri) menunjukkan sebahagian bubu naga dirampas dalam operasi khas sekitar perairan Kedah dalam operasi sejak Isnin.
A
A
A

KUALA KEDAH - Bubu naga yang boleh dibeli dalam aplikasi dalam talian dibimbangi menjadi ancaman kepada sumber protein negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, penggunaan bubu naga dilarang kerana ia dikhuatiri boleh menyapu semua hasil laut.

Beliau berkata, antara sumber perikanan terjejas akibat penggunaan bubu naga termasuklah udang, sotong dan anak-anak ikan.

"Nelayan mudah dapat (bubu naga), dalam aplikasi dalam talian pun boleh dapat. Mudah, murah, senang dan jimat masa.(Namun), dia (nelayan) salah guna (bubu naga) sebenarnya.

"Kita (sepatutnya) guna dalam industri akuakultur (iaitu) untuk orang hendak bela udang di kolam-kolam (ternakan). Ia digunakan untuk asing dan kelas dengan mudah. (Apabila) pekerja kurang, jadi jimat masa tetapi salah guna (bawa) pergi ke laut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media operasi pemantauan, kawalan dan pengawasan vesel penangkapan ikan (MCS) zon Pantai Barat di Pangkalan Perlindungan Sumber Kuala Kedah, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa; Pengarah Perikanan Kedah, Pang Pyukang dan Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak.

Menurut Wan Muhammad Aznan, penggunaan bubu naga di laut menyebabkan semua hasil laut seperti ikan bawal dan kerapu terperangkap dalam peralatan itu sekali gus merugikan sumber perikanan dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, terbaru, pihaknya merampas sebanyak 1,494 bubu naga dalam operasi khas selama lima hari bersama Maritim Malaysia bermula 15 Januari sehingga Jumaat.

Katanya, rampasan bubu naga didapati meningkat berbanding hanya kira-kira 2,000 unit bubu naga sepanjang tahun lepas.

"Turut dirampas, 34 set rawa surong, 11 bidang pukat rawa surong dan 13 bot fiber dalam operasi disertai 80 anggota DOF serta Maritim Malaysia melibatkan lima aset laut dan lapan aset darat dengan turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah," katanya.

Sehubungan itu, Wan Muhammad Aznan berkata, kes melibatkan vesel penangkapan ikan tempatan akan didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan menangkap ikan tanpa lesen atau kerana melanggar syarat atau arahan dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

"Kes sitaan pula akan disabitkan Seksyen 11 (3)(a), Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 dan pelanggaran Peraturan 2 - Larangan Cara Menangkap Ikan 1980," katanya.

Beliau memberitahu, kesemua bot dan barang sitaan kini berada di Pangkalan Cawangan Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan (MCS) Kuala Kedah, Pangkalan Maritim Kuala Perlis dan Pangkalan Maritim Kuala Kedah bagi tujuan pengurusan kes.

Katanya, DOF memandang serius isu dan kesalahan melibatkan pelanggaran Akta Perikanan 1985 kerana aktiviti seperti pelanggaran zon kawasan penangkapan, penggunaan peralatan perikanan dilarang dan lain-lain aktiviti tidak beretika akan mengakibatkan berlakunya pengurangan sumber perikanan,sekali gus mengelakkan tercetusnya kontroversi antara nelayan komersial dengan nelayan tradisional.

Beliau mengingatkan, rasa tanggungjawab dan berhemah perlu diterapkan kepada semua pemain industri perikanan tangkapan negara bagi memastikan sumber protein negara terjaga dan terpelihara sehingga ke generasi akan datang.

Dalam perkembangan sama, kata beliau, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Maritim Malaysia atas komitmen dan kerjasama diberikan tanpa mengenal penat dan lelah dalam menjayakan operasi khas seperti ini.

Kata Wan Muhammad Aznan lagi, pihaknya juga tidak melupakan bantuan polis Kedah dan berharap kerjasama ini akan kekal dan diteruskan pada masa hadapan.