KPDN terima 10,377 aduan libat transaksi dalam talian

Fuziah bercakap dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Today’s Malaysia E-commerce and consumer protection regulatory framework-The Way Forward di sebuah hotel di sini pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Fuziah bercakap dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Today’s Malaysia E-commerce and consumer protection regulatory framework-The Way Forward di sebuah hotel di sini pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 10,377 aduan pengguna melibatkan transaksi secara dalam talian membabitkan pelbagai kesalahan dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, jumlah aduan yang diterima itu merupakan 35 peratus daripada keseluruhan aduan yang diterima pihaknya sehingga 31 Ogos lalu.

Menurutnya, aduan pengguna paling tinggi adalah dari platform e-dagang diikuti oleh platform media sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Seiring dengan perkembangan sektor e-dagang, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh pengguna pada masa ini antaranya barangan yang dibeli dalam talian tidak sampai atau tidak memenuhi kehendak pelanggan dan standard keselamatan produk yang tidak mengikut piawaian yang telah ditetapkan

“Apa yang berlaku sekarang ini penyedia perkhidmatan e-dagang tidak akan bertanggungjawab, jadi kalau isu berkaitan barang-barang yang dijual tidak menepati seperti yang diiklankan, bagaimana kita hendak pastikan pengguna dapat hak mereka dan tebus ganti rugi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Today’s Malaysian E-Commerce and Consumer Protection Regulatory Framework: The Way Forward yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Fuziah berkata, untuk mengatasi isu berkenaan, KPDN sedang mengkaji semula perundangan e-dagang sedia ada dan mencadangkan mekanisma kawal selia yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan pemain industri dan pengguna terjamin.

Ini kerana menurut Fuziah, Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 adalah di bawah seliaan KPDN.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum kita nak gubal undang-undang atau akta ia melibatkan proses yang lama (dua tahun) jadi kita perlu bincang bersama penyedia perkhidmatan. jadi sidang yang diadakan pada hari ini penting untuk industri mengembeleng idea dan tenaga macam mana kita laksanakan dahulu,” katanya

Mengulas lanjut mengenai penjualan barangan asas seperti beras, gula, minyak peket secara dalam talian dan platform e-dagang berkenaan, Fuziah mengesahkan pihaknya ada menerima aduan berkenaan perkara itu semalam.

“Saya telah arahkan penguat kuasa untuk menyiasat perkara itu.

"Setakat ini, undang-undang untuk mengawal selia barangan di platform e-dagang memang tiada, malah tiada undang-undang yang melarang atau memaksa dan menuntut penjual di platform tersebut untuk memastikan barangan yang mereka tawar itu wujud," ujarnya.

Tambahnya lagi, penyedia perkhidmatan juga tidak boleh mengambil tindakan kepada penjual jika apa-apa masalah berlaku.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!