Jabatan Perikanan tingkat pemantauan isu curi benih kerang

Adnan (kanan) menjawab isu kegiatan curi benih kerang di Sekinchan.
Adnan (kanan) menjawab isu kegiatan curi benih kerang di Sekinchan.
A
A
A

RAWANG - Jabatan Perikanan mempertingkatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengatasi isu kecurian benih kerang di pantai Sungai Leman di Sekinchan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat kegiatan itu dan tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Marin bagi membanteras kegiatan itu.

Menurutnya, maklumat awal diterima, kegiatan kecurian itu berlaku khususnya waktu malam dan tindakan pemantauan serta penguatkuasaan telah ditingkatkan.

"Selain itu pada masa ini Jabatan Perikanan telah mengeluarkan permit kepada mana-pihak yang berminat untuk mengambil benih kerang secara sah.

"Ini kerana di bawah peraturan sedia ada, hanya benih bersaiz lebih daripada 4 milimeter sahaja yang baharu boleh dikeluarkan lesen," katanya

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu melawat ARC Berkat Agrofood Sdn Bhd di sini pada Ahad.

Media sebelum ini mendedahkan dianggarkan 200 bot didapati kembali aktif mencuri sumber laut itu di kebun benih kerang kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai Sungai Leman.

Dilaporkan, sindiket itu yang sebelum ini mencuri hasil laut pada waktu malam, kini lebih berani secara terang-terangan melakukan kegiatan haram itu di siang hari sejak pagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata, setakat ini pihaknya telah merampas peralatan yang digunakan untuk mencuri benih kerang tersebut.

"... yang terkini pada dua hari lepas, kita berjaya menahan sebuah kenderaan di Pulau Pinang yang didapati membawa benih kerang tanpa permit.

"Perkara ini masih dalam siasatan, kita tidak pasti benih kerang itu dari perairan Selangor atau kawasan lain.

"Pada masa sama, usaha penguatkuasaan dilakukan sama ada di laut atau darat bagi mengawal kegiatan ini, " katanya.