Bersih gesa kerajaan dedahkan laporan ERC kepada umum

Bersih gesa kerajaan dedahkan laporan Jawatankuasa ERC kepada umum. Gambar kecil: Muhammad Faisal
Bersih gesa kerajaan dedahkan laporan Jawatankuasa ERC kepada umum. Gambar kecil: Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa supaya kerajaan mendedahkan laporan Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) kepada umum.

Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia bertujuan memperhalusi laporan tersebut bagi memastikan agenda reformasi sistem pilihan raya dan institusi segera direalisasikan.

“Laporan ini perlu dinyahklasifikasikan supaya Bersih dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain mempunyai ruang untuk merancakkan perbincangan mengenai reformasi negara.

“Selain itu, peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diamanahkan untuk menjalankan pilihan raya termasuk isu persempadanan semula kawasan pilihan raya amat besar, justeru penting untuk memastikan ia benar-benar bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.

“Jadi, Bersih mendesak lantikan pengerusi SPR dan ahli suruhanjaya dibuat dengan lebih baik, demokratik dan inklusif iaitu menerusi institusi Parlimen" katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Muhammad Faisal berkata, Bersih turut melihat keperluan untuk memodenkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berikutan ia tidak dipinda melebihi 20 tahun.

“Malah akta ini sudah tidak relevan dengan situasi semasa. Sebagai contoh, had perbelanjaan untuk calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing ialah RM200,000 dan RM100,00.

“Untuk memodenkan mengikut keperluan semasa, setidak-tidaknya ia perlu dinaikkan kepada RM400,000 dan RM200,000 berikutan kos yang tinggi pada masa ini.

Artikel Berkaitan:

“Had ini wajar dinaikkan supaya parti politik tidak lagi melanggar undang-undang pilihan raya,” ujarnya.