EGM PAFA selesai, tunggu pengumuman menteri

Khairudin (kiri) meninjau pendaftaran PADU di PEDi Bota pada Khamis.
Khairudin (kiri) meninjau pendaftaran PADU di PEDi Bota pada Khamis.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) sedang menunggu maklum balas terkini daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Kementerian Belia dan Sukan berhubung status Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang telah dilaksanakan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, EGM kendalian jawatankuasa ad hoc telah selesai diadakan pada 22 Disember 2023.

Menurutnya, laporan mengenai pelaksanaan mesyuarat tersebut telah dihantar kepada Kementerian Menteri Belia dan Sukan (KBS) untuk tindakan lanjut.

Khairudin (dua dari kiri) meninjau proses pendaftaran PADU di PEDi Bota pada Khamis.
Khairudin (dua dari kiri) meninjau proses pendaftaran PADU di PEDi Bota pada Khamis.

"Kita masih menanti laporan dan tindakan daripada PJS dan KBS berkaitan status permohonan tersebut dan besar harapan agar pelaksanaan EGM itu sah agar jawatankuasa eksekutif PAFA yang dilantik itu dapat melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepada mereka.

"PAFA seperti sedia maklum dah lama tidak berfungsi atas ketidakakuran kepada peraturan dan kehendak PJS itu sendiri, maka kita masih menanti maklumat terkini daripada PJS dan juga pihak pejabat Menteri KBS," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Bersepadu Madani dan Pendaftaran Program Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Bota di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Khairudin berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi merealisasikan penganjuran sukan elektronik (e-Sukan) di masjid.

Khairudin (tengah) turut mempromosikan Jualan Rahmah ketika Program Bersepadu Madani dan Pendaftaran Program PADU di PEDi Bota di sini pada Khamis.
Khairudin (tengah) turut mempromosikan Jualan Rahmah ketika Program Bersepadu Madani dan Pendaftaran Program PADU di PEDi Bota di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, usaha itu dilakukan sebagai menyahut titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyarankan masjid-masjid di Perak menganjurkan aktiviti e-Sukan.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan khusus kepada e-Sukan di dalam Belanjawan 2024.

"Kita tahu sukan elektronik ini merupakan salah satu budaya sekarang ini cukup popular dalam kalangan orang muda. Mungkin selepas ini pihak Jabatan Belia dan Sukan negeri atau MSN akan berbincang dengan JAIPk untuk kita memastikan bahawa titah tuanku itu dapat kita laksanakan dengan sebaik mungkin.

"Ini bagi memastikan supaya masjid menjadi salah satu tempat golongan remaja berkumpul selain daripada beramal ibadat dan menunaikan solat, mereka boleh mengadakan aktiviti kegemaran dan kesukaan mereka," katanya.