Doping: Juara maraton Olimpik, dunia dari Kenya Jepchirchir digantung 3 tahun

PELARI maraton Kenya, Peres Jepchirchir, antara atlet maraton wanita paling banyak meraih kejayaan di dunia dan juara dunia bertahan, dikenakan penggantungan selama tiga tahun kerana doping, selain tindakan terhadap dua lagi pelari Kenya, menurut pengumuman pihak berkuasa olahraga pada Khamis, sekali gus menjejaskan reputasi negara Afrika Timur itu sebagai kuasa besar dalam acara larian jarak jauh.
Atlet berusia 33 tahun itu, yang meraih pingat emas maraton pada Sukan Olimpik 2021, turut memenangi empat perlumbaan maraton utama dunia, termasuk New York pada 2021, Boston pada 2022, London pada 2024 dan Sydney pada Ogos 2026, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Unit Integriti Olahraga (AIU) memaklumkan bahawa Jepchirchir mengaku melanggar peraturan antidoping selepas diuji positif bagi erythropoietin (EPO), bahan terlarang yang meningkatkan keupayaan darah membawa oksigen dan boleh meningkatkan daya tahan atlet.
Semua keputusan perlumbaannya mulai 17 Julai dibatalkan, termasuk kemenangannya dalam Maraton Sydney.
Tindakan itu turut dikenakan terhadap dua lagi atlet Kenya, iaitu Veronica Loleo, pemenang pingat perak pada Kejohanan Larian Jalan Raya Dunia 2026, yang digantung selama tiga tahun selepas diuji positif EPO, serta pelari maraton Ronald Korir, 35, yang digantung selama enam tahun selepas keabnormalan dalam pasport biologinya menunjukkan penggunaan bahan doping.
Jepchirchir dan Loleo masing-masing menerima pengurangan tempoh penggantungan selepas mengaku melakukan pelanggaran berkenaan.
Ketua Eksekutif AIU, Brett Clothier memberi amaran bahawa kes terbaharu itu mendedahkan cabaran berterusan dalam usaha Kenya memerangi penggunaan bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi atlet.
"Pihak berkuasa Kenya telah mencapai banyak kemajuan dalam usaha memerangi doping sepanjang lima tahun lepas, namun kes ini menunjukkan masih banyak yang perlu dilakukan," kata Clothier.
Beliau berkata, pihak berkuasa Kenya telah berikrar untuk memperkukuh agensi antidoping negara itu dan mengambil tindakan tegas terhadap rangkaian jenayah yang memudahkan kegiatan doping. - Bernama/Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
