Terbuka Hong Kong: Wei Chong-Kai Wun mara ke pusingan kedua dalam tempoh 25 minit

Wei Chong-Kai Wun mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong 2026 di Grand Hall - Kai Tak Arena, Kai Tak Sports Park hari ini. Foto fail Bernama
Wei Chong-Kai Wun mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong 2026 di Grand Hall - Kai Tak Arena, Kai Tak Sports Park hari ini. Foto fail Bernama
A
A
A

BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun hanya mengambil masa 25 minit untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong 2026 di Grand Hall - Kai Tak Arena, Kai Tak Sports Park hari ini.

Pasangan negara yang menduduki ranking kesembilan dunia itu mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan beregu kedudukan ke-27 dunia dari Thailand Peeratchai Sukphun-Pakpakkapon Teeraratsakul 21-10, 21-14.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut Wei Chong-Kai Wun ke atas pasangan Thailand itu, sekali gus menyaksikan mereka bakal berdepan sama ada pasangan Taiwan Zhi-Wei He-Huang Jui-Hsuan atau beregu India Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun pada pusingan kedua.

Sementara itu, beregu lelaki berpengalaman negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong melepasi halangan pertama selepas menewaskan pasangan Jepun Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa menerusi pertarungan sengit 21-16, 17-21, 21-19.

Beregu negara itu bagaimanapun berdepan cabaran getir pada pusingan seterusnya apabila dijadualkan bertemu pasangan India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty selepas tewas dalam ketiga-tiga pertemuan terdahulu menentang pasangan berkenaan.

Dalam acara beregu campuran, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing terpaksa bekerja keras untuk melepasi halangan pertama apabila menewaskan pasangan Indonesia Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata 21-14, 22-24, 21-13 untuk mengatur pertemuan menentang pilihan kedua kejohanan dari China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada pusingan seterusnya.

Dalam acara perseorangan lelaki pula, Cheam June Wei tewas kepada pemain Denmark Anders Antonsen 15-21, 14-21, sekali gus menyaksikan Antonsen mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut ke atas pemain negara itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!