15 individu di Labuan rugi lebih RM200,000 ditipu tawaran kerja

Modus operandi penipuan itu melibatkan penubuhan kumpulan WhatsApp dengan merekrut seorang individu untuk membentuk kumpulan tambahan dan menambah sebanyak mungkin kenalan. Foto hiasan
Modus operandi penipuan itu melibatkan penubuhan kumpulan WhatsApp dengan merekrut seorang individu untuk membentuk kumpulan tambahan dan menambah sebanyak mungkin kenalan. Foto hiasan
A
A
A

LABUAN - Peningkatan kes penipuan baru-baru ini yang menyasarkan penduduk Labuan menerusi tawaran peluang pekerjaan secara sambilan di platform media sosial telah menyebabkan 15 individu termasuk penjawat awam kerugian RM203,507 selepas wang simpanan mereka lesap.

Ketua Polis Labuan, Superintenden Hamizi Halim berkata, Bahagian Jenayah Komersil Labuan menerima 15 laporan polis berhubung penipuan sedemikian sejak awal bulan ini.

Beliau berkata, modus operandi penipuan itu melibatkan penubuhan kumpulan WhatsApp iaitu pentadbir yang dikenali sebagai Olivia merekrut seorang individu untuk membentuk kumpulan tambahan dan menambah sebanyak mungkin kenalan.

"Ahli dalam kumpulan itu dijanjikan dengan pekerjaan sambilan yang bergaji lumayan dan kemudian ditipu untuk terlibat dengan pelaburan dalam talian haram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiada tangkapan dibuat berhubung kes itu setakat ini.

Hamizi turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati apabila ditawarkan pekerjaan sambilan dalam talian dengan gaji lumayan.

Beliau berkata, polis Labuan sedang berusaha untuk mengenal pasti dan menangkap pelaku penipuan pekerjaan itu.

"Memandangkan teknologi semakin maju, individu digesa agar lebih berhati-hati dan mengesahkan kesahihan sesuatu peluang sebelum terlibat dalam sebarang transaksi kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis sentiasa komited untuk membanteras kegiatan penipuan ini dan kerjasama daripada orang ramai amat penting dalam memastikan keselamatan dan keamanan masyarakat," katanya. - Bernama