Ahli perniagaan rugi lebih RM500,000 ditipu 'phone scam'

Ahli perniagaan wanita mengalami kerugian sebanyak RM534,500 selepas tertipu dengan 'phone scam' pada Rabu lalu. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Tan Cheng San
Ahli perniagaan wanita mengalami kerugian sebanyak RM534,500 selepas tertipu dengan 'phone scam' pada Rabu lalu. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Tan Cheng San
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang ahli perniagaan wanita berusia 54 tahun mengalami kerugian sebanyak RM534,500 selepas tertipu dengan 'phone scam' pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, mangsa yang merupakan warga tempatan menerima satu panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai daripada Pos Laju Malaysia.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa kononnya ada satu bungkusan yang tidak dituntut atas nama mangsa yang mana ia mengandungi barangan salah seperti kad pengenalan dan kad ATM.

"Selepas menerima panggilan itu, mangsa menerima satu lagi panggilan telefon daripada seorang individu lain yang menyamar sebagai anggota polis dari Ibupejabat Polis Kontinjen Kangar, Perlis.

"Suspek kedua itu memberitahu mangsa bahawa dia akan mengambil laporan kerana kononnya ada individu lain telah menggunakan maklumat peribadi mangsa untuk menghantar barangan salah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Cheng San berkata, mangsa kemudiannya telah dihubungi seorang lagi suspek yang mengaku seorang pegawai polis dan mendakwa mangsa terlibat dalam penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram.

"Mangsa diminta untuk melaporkan diri setiap empat jam sekali kepada suspek ketiga. Suspek juga meminta mangsa memuat turun aplikasi ‘BNM' dan membuka akaun bank yang baharu.

"Mangsa kemudiannya diarah memasukkan maklumat akaun bank yang baharu dibuka itu ke dalam aplikasi ‘BNM’ dan memindahkan wang pengadu berjumlah RM466,500 ke akaun bank tersebut, kononnya untuk tujuan siasatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek memberitahu mangsa tidak mengeluarkan wang di akaun tersebut selama tiga bulan.

"Mangsa sekali lagi diarahkan membuat tiga kali pemindahan wang ke dua akaun berbeza berjumlah RM68,000.

"Mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah membuat semakan di akaun banknya dan mendapati wang dalam akaunnya telah dipindahkan ke beberapa akaun yang lain. Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa adalah RM534,500.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada Rabu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Dalam pada itu, Cheng San menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu terhadap mana-mana akaun persendirian sebelum membuat sebarang bayaran yang diminta.

Katanya, semakan boleh dilakukan melalui laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my dan aplikasi Semak Mule untuk menyemak sebarang nombor akaun bank dan nombor telefon yang diragui.