Suami isteri OKU cedera dilanggar treler di SJR

Kedua mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.
Kedua mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah treler yang didakwa mengalami masalah brek merempuh sekatan jalan raya sehingga mengakibatkan pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) cedera dalam kejadian di Persiaran Jubli Perak berhampiran susur keluar Tanah Perkuburan Seksyen 21 pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis bertugas sedang menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal jenis Honda RSX yang dinaiki kedua mangsa berumur lingkungan 40 tahun itu.

"Sekatan jalan raya itu dijalankan sepasukan anggota dari Balai Polis Bukit Jelutong bermula jam 10 malam sehingga jam 2 pagi di lokasi berkenaan.

"Kejadian kira-kira 11.40 malam itu berlaku apabila sebuah treler dipandu seorang lelaki warga tempatan dari arah Pelabuhan Klang ke Batu Tiga Shah Alam merempuh sekatan itu," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, pelanggaran mengakibatkan dua mangsa berkenaan mengalami kecederaan di kaki, pinggang serta leher dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Shah Alam.

"Pemandu treler terlibat yang merupakan seorang lelaki warga tempatan kemudiannya ditahan sejurus selepas kejadian," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan air kencing adalah negatif.

Artikel Berkaitan:

Pasangan suami isteri OKU cedera ketika dirempuh sebuah treler dalam sekatan jalan raya di Persiaran Jubli Perak berhampiran susur keluar Tanah Perkuburan Seksyen 21 pada Selasa.
Pasangan suami isteri OKU cedera ketika dirempuh sebuah treler dalam sekatan jalan raya di Persiaran Jubli Perak berhampiran susur keluar Tanah Perkuburan Seksyen 21 pada Selasa.

"Suspek mendakwa treler yang dipandunya itu mengalami masalah brek bagaimanapun kita akan hantar treler berkenaan untuk pemeriksaan Puspakom.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mohd Iqbal berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang di jalan raya bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang.

"Pengguna jalan raya diingatkan agar memperlahankan kenderaan ketika melalui sekatan jalan raya dan beri kerjasama kepada anggota polis ketika pemeriksaan dijalankan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 0355202222," katanya.