Pengurangan pekerja Mara, tidak bayar gaji hanya fitnah: Rina Harun

Rina
Rina
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun memberi jaminan bahawa Majlis Amanah Rakyat (Mara) termasuk subsidiari di bawahnya tetap beroperasi seperti sediakala, sekali gus menolak tuduhan negatif terhadap Mara sebelum ini.

Beliau berkata, Mara akan terus melaksanakan dasar dan program yang telah digariskan mengikut teras dan peranan setiap entiti yang wujud.

Menurutnya, tindakan oleh mana-mana pihak yang sengaja menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung Mara amat mendukacitakan dan ia perlu dihentikan.

"Saya mengharapkan tidak ada mana-mana pihak lain yang sengaja menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung Mara.

"Sebagai contoh, adalah tidak benar bahawa Mara melaksanakan pengurangan jumlah pekerja.

"Adalah amat mendukacitakan tuduhan palsu yang menyatakan terdapat pekerja anak syarikat Mara yang tidak mendapat gaji untuk beberapa bulan. Semua itu adalah tidak tepat dan fitnah semata-mata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan seumpama itu tidak menggambarkan keikhlasan untuk melindungi Mara, jauh sekali membantu memperkasa dan melonjakkan kecemerlangan Mara sebagai sebuah institusi yang amat signifikan kepada negara, khususnya pembangunan bumiputera.

Sementara itu, pihaknya sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sebarang saranan dan pandangan daripada semua pihak yang prihatin dan ikhlas ingin melihat Mara terus berkembang maju dan melonjakkan keupayaannya untuk merealisasikan teras dan matlamat penubuhan Mara.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah mengarahkan Majlis Mara dan Pengurusan Mara untuk meningkatkan sesi libat urus bagi mendapatkan syor dan pandangan pelbagai pihak berkepentingan

"Setiap cadangan dan inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan adalah untuk memastikan Mara terus diperkasa dan berkembang maju sebagai salah satu agensi peneraju pembangunan sosio-ekonomi bumiputera," katanya.

Beliau juga turut menyatakan komitmen untuk memastikan mandat yang diberikan kepada Ahli Majlis Mara dan Pengurusan Mara sebagaimana yang digariskan di bawah Akta Mara 1966 sentiasa dilaksanakan bertepatan dengan fungsi dan tanggungjawab teras institusi berkenaan.

"Setiap dasar dan program perlu berpaksikan kepada agenda pembangunan dan kepentingan bumiputera serta kesejahteraan rakyat Malaysia untuk membina kemakmuran bersama," katanya.

Sebelum ini, Mara menegaskan bahawa pembayaran gaji pekerjanya tidak pernah mengalami tunggakan selama tiga bulan sebaliknya pembayaran gaji hanya mengalami kelewatan dari tarikh ditetapkan disebabkan faktor tertentu.

Kelewatan pembayaran gaji hanya berlaku tiga kali sepanjang 2019 disebabkan perubahan, penyelarasan proses pembayaran dan agihan wang pengurusan anak-anak syarikat Mara yang masih berterusan.