SKDD kenal pasti anggota, pegawai polis ada 'red flag'

Allaudeen. Foto Bernama
Allaudeen. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pegawai dan anggota polis yang memegang jawatan sebagai penyelia perlu mematuhi Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) bagi mengenal pasti sama ada anggota dan pegawai di bawah seliaan ada terlibat salah laku atau sebaliknya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sekiranya SKDD dipatuhi, penyelia perlu melaksanakan tanggungjawab penyeliaaan secara bersemuka dengan anggota dan pegawai bawahannya sebulan sekali.

"Dalam proses penyeliaan bersemuka itu, pada masa itulah penyelia perlu kenal pasti sama ada anggota atau pegawai yang diselia itu ada 'flag red' (bendera merah), ada terlibat jenayah, salah laku atau rasuah, mempunyai masalah peribadi atau masalah keluarga.

"Sekiranya SKDD dibuat secara berkesan, peluang untuk berlaku salah laku adalah amat tipis dan boleh dikesan dengan lebih awal," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Allaudeen berkata, sebagai contoh semasa sesi penyeliaan, penyelia mendapati anggota itu mempunyai kereta mewah yang di luar kemampuannya atau pendapatan isi rumah, itu merupakan tanda 'red flag' yang perlu disiasat.

Sementara itu, beliau menegaskan tidak memandang ringan berhubung pembabitan segelintir anggota polis dalam jenayah, kesalahan tatatertib dan juga isu tatakelola yang lemah.

"Saya sudah arahkan semua ketua polis daerah dan ketua jabatan untuk ambil tindakan tegas bagi mengelakkan segelintirnya daripada terus mencemarkan nama baik pasukan," katanya.

Menurutnya, jika ada anggota polis terbabit salah laku atau jenayah membabitkan kepentingan awam, anggota itu berdepan tindakan ditukarkan tempat kerja atau tahan kerja semasa siasatan dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu, jika perlu dituduh di mahkamah, kita akan tuduh.

"Jika perlu ambil tindakan tatatertib, kita akan ambil.

"Tindakan tegas menanti mereka tanpa mengira pangkat dan kedudukan," katanya.