Amaran keras kepada pihak ada kaitan barangan kawalan, bersubsidi

Hati-hati lihat tawaran iklan minyak masak peket murah yang dipaparkan kerana ia memberi kelebihan kepada scammer untuk memperdaya mangsa. Foto hiasan
Hati-hati lihat tawaran iklan minyak masak peket murah yang dipaparkan kerana ia memberi kelebihan kepada scammer untuk memperdaya mangsa. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan amaran keras kepada semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah dikuatkuasakan.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi termasuk yang dijual secara dalam talian.

"Kebelakangan ini kementerian sering menerima aduan daripada pengguna berkaitan sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan minyak masak peket bertujuan memperdaya mangsa untuk mendapatkan bekalan selain dikesan menawarkan dengan harga lebih murah," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Ujar beliau, satu tindakan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diambil pada 9 Januari lalu kerana berurusniaga barang kawalan tanpa lesen yang sah.

"Berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 4 Julai 2022 sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 62 pemeriksaan fizikal telah dilakukan di seluruh negara manakala 11 aduan berkaitan telah diterima dalam tempoh sama.

"Daripada jumlah itu, sebanyak tiga tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] telah diambil dan disiasat ke atas pihak yang terlibat yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian," katanya.

Antara kesalahan dilakukan adalah berurusniaga barang kawalan berjadual iaitu minyak masak tanpa lesen yang sah dan menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan.

Tambah beliau, kementerian telah bekerjasama dengan pengendali tapak pasar secara dalam talian dalam negara bagi memastikan aktiviti scammer serta penyelewengan minyak masak dapat diatasi dengan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Hasilnya, sebanyak 198 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak secara dalam talian telah dinyahturun dalam tempoh yang sama," kata Azman.

Menurutnya, pengguna juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam melihat tawaran iklan pembelian minyak masak peket murah yang dipaparkan kerana ia memberi kelebihan kepada scammer untuk memperdaya mangsa.

"Tindakan pantas sekiranya masyarakat pengguna mengesan aktiviti sebegini adalah dengan menyalurkan pertanyaan dan aduan kepada KPDN," katanya.