Kecurian kabel masalah besar, 450 lampu jalan di laluan Putrajaya rosak - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Faktor kecurian kabel merupakan antara punca utama menyebabkan 450 lampu jalan tidak berfungsi daripada keseluruhan 1,518 di laluan Persekutuan FT29 serta FT30 yang menghubungkan akses keluar masuk ke Putrajaya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, isu kecurian kabel memerlukan tindakan penguatkuasaan lebih tegas bagi memastikan kemudahan awam itu tidak terjejas.

Selain faktor berkenaan, dua lagi perkara yang menyebabkan kerosakan lampu jalan ialah jangka hayat serta insiden kemalangan kenderaan yang melanggar tiang lampu.

“Kecurian kabel ini masalah besar. Daripada 1,518 jumlah lampu jalan di FT29 dan FT30, 450 tak berfungsi kerana curi kabel.

"Jadi kegiatan curi kabel ini memerlukan penguatkuasaan. Pertamanya kedai besi buruk, mereka membeli. Kalau mereka tak beli, tak ada orang nak jual dan curi kabel.

"Oleh itu, kedua-dua perkara ini iaitu pencuri kabel dan pembeli kabel yang dicuri itu perlu diambil tindakan," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berhubung statistik kes kerosakan lampu jalan akibat kecurian kabel khususnya di laluan FT29 dan FT30.

Sementara itu, menjawab soalan asal Radzi mengenai status penyelenggaraan lampu dan garisan jalan bagi laluan FT29 serta FT30 sekitar sempadan Putrajaya serta rancangan penggunaan sistem lampu jalan solar, Ahmad berkata, permohonan peruntukan sebanyak RM780,000.00 diangkat bagi tujuan membaik pulih kerosakan berkenaan.

Namun katanya, kelulusan bagi kerja-kerja pembaikan di laluan berkenaan disusun semula untuk fasa pelaksanaan seterusnya dengan mengambil kira keutamaan peruntukan semasa.

“Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya memberi keutamaan kepada aspek keselamatan melalui pemasangan lampu jalan secara setempat dan berskala kecil di lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat keadaan jalan yang gelap.

“Pemantauan juga terus dilaksanakan di lokasi-lokasi yang berisiko berlaku kemalangan serta di kawasan kemalangan yang telah dipasang lampu jalan akan terus dilaksanakan pada setiap masa oleh pihak Kementerian dan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR)akan mengenal pasti lokasi-lokasi baharu yang sesuai untuk dipasang lampu jalan terutamanya di lokasi yang kerap atau berisiko berlaku kemalangan.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!