Luqman Hakim sertai kelab Divisyen 3 Jepun

Luqman Hakim
Luqman Hakim
A
A
A

PENYERANG skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin menyertai kelab Divisyen 3 Jepun, Yokohama SCC (YSCC) secara pinjaman.

Perkara itu dimaklumkan menerusi laman Facebook rasmi pasukan itu pada Selasa yang turut mengesahkan tempoh pinjaman adalah sehingga Januari tahun depan.

"Kami ingin memaklumkan bahawa Luqman Hakim akan menyertai kelab secara pinjaman daripada KV Kortijk," kata kenyataan kelab.

Sebelum ini, Luqman Hakim mendapat perhatian dengan aksi memukau ketika menjadi pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan berjaya beraksi di Eropah bersama Kortrijk.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kelantan itu yang pernah dinobatkan sebagai penyerang muda terbaik apabila muncul penjaring terbanyak di Piala Asia B-17, pada 2018 dan tersenarai dalam 60 pemain muda terbaik dunia oleh portal antarabangsa, The Guardian sedang meniti kesukaran selepas gagal mendapatkan minit permainan secukupnya di Belgium.

Dia juga telah dipinjamkan ke kelab Iceland, Njardvik dan selepas berakhir tempoh pinjaman itu, dia terus gagal mendapat peluang beraksi bersama pasukan utama Kortrijk.

Dalam pada itu Luqman Hakim mengakui tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu bersama kelab Jepun itu.

"Saya sangat gembira untuk menandatangani kontrak dengan kelab terbaik seperti YSCC dan saya selesa berada di sini.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak sabar untuk memulakan cabaran dengan pasukan dan saya akan berikan yang terbaik," katanya.