9.13 juta penduduk Malaysia berumur bawah 18 tahun

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR, - Jumlah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun pada 2023 dianggarkan 9.13 juta iaitu meliputi 27.4 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia sebanyak 33.38 juta.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan Statistik Kanak-Kanak Malaysia, 2023 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah umur 18 tahun masing-masing ialah 4.72 juta dan 4.42 juta.

"Sementara itu, komposisi kanak-kanak di bawah umur lima tahun pada 2023 ialah 2.35 juta dengan 1.21 juta kanak-kanak lelaki dan 1.14 juta kanak-kanak perempuan. Kumpulan umur ini meliputi 25.7 peratus daripada jumlah kanak-kanak di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun pada 2023 iaitu 41.1 peratus daripada jumlah penduduk diikuti Kelantan (34.4 peratus) dan Terengganu (33.5 peratus).

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula mencatatkan peratusan terendah iaitu 22.6 peratus.

"Bagaimanapun, Selangor merekodkan bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tertinggi iaitu 1.81 juta, diikuti Johor (1.11 juta) dan Sabah (1.10 juta).

"Bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang terendah direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 0.03 juta,” katanya.

Statistik berkenaan juga menunjukkan kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mengalami kekurangan nutrisi yang teruk di peringkat nasional meningkat sedikit kepada 0.3 peratus pada 2022 berbanding 0.2 peratus pada 2021.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penemuan dalam bidang pendidikan menunjukkan bilangan murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan pada 2022 ialah 4.96 juta, meningkat 0.6 peratus daripada 4.93 juta pada 2021.

Bilangan murid di sekolah swasta pula mencatatkan penurunan 1.2 peratus kepada 0.42 juta berbanding 0.43 juta dalam tempoh yang sama.

"Daripada perspektif perlindungan kanak-kanak, bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan pada 2022 meningkat 10.2 peratus kepada 6,770 orang berbanding 6,144 orang pada 2021.

"Lebih ramai kanak-kanak perempuan yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan iaitu 4,303 orang berbanding kanak-kanak lelaki (2,467 orang) pada 2022.

"Komposisi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan ialah bumiputera (73.5 peratus), Cina (7.5 peratus), India (9.0 peratus) dan lain-lain (10.1 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, bilangan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah pada 2022 merekodkan penurunan sebanyak 12.8 peratus iaitu 3,013 kes berbanding 3,457 kes pada 2021, manakala bilangan kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak meningkat 9.5 peratus pada 2022 dengan 1,621 kes berbanding 1,481 kes pada tahun sebelumnya.

Penerbitan Statistik Kanak-Kanak, Malaysia, 2023 boleh dimuat turun secara percuma melalui portal Jabatan Perangkaan Malaysia (www.dosm.gov.my).