7.2 juta isi rumah terima manfaat Jualan Agro Madani

Abd Rahman (dari dari kiri) dan Wan Faizatul Aniza (dua dari kanan) menunjukkan sayur-sayuran yang boleh didapati di Program Jualan Agro Madani di Tunjong, Kota Bharu.
Abd Rahman (dari dari kiri) dan Wan Faizatul Aniza (dua dari kanan) menunjukkan sayur-sayuran yang boleh didapati di Program Jualan Agro Madani di Tunjong, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan sejumlah 7.2 juta isi rumah akan mendapat manfaat daripada 5,000 program Jualan Agro Madani 2024 di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abd Rahman Mahmood berkata, sasaran itu lebih tinggi berbanding 6.4 juta yang ditetapkan pada tahun lalu.

Menurutnya, pada 2023, Fama berjaya memberi manfaat kepada 10.5 juta pengguna atau 164 peratus berbanding sasaran melalui 5,721 program Jualan Agro Madani yang diadakan di seluruh negara.

“Sehingga Disember tahun ini, 5,000 program yang disasarkan itu dijangka akan mencatat nilai jualan sebanyak RM57.5 juta.

“Inisiatif program juga akan memberi manfaat kepada 7.2 juta isi rumah dengan nilai penjimatan dianggarkan berjumlah RM17.25 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas Jelajah Mesra di Program Jualan Agro Madani di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengarah Fama Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim.

Abd Rahman (tiga dari kanan) dan Wan Faizatul Aniza (dua dari kanan) melihat beras yang dijual di Program Jualan Agro Madani pada Isnin.
Abd Rahman (tiga dari kanan) dan Wan Faizatul Aniza (dua dari kanan) melihat beras yang dijual di Program Jualan Agro Madani pada Isnin.

Kata Abd Rahman, pada tahun ini, Fama mengambil pendekatan dengan memperluas pelaksanaan program di outlet-outlet peruncitan Fama di seluruh negara, antaranya pasar tani, pasar tani kekal dan Agrobazaar.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, program memfokuskan kepada penawaran produk makanan asas utama seperti ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barang kawalan dan runcit selain beras.

“Keutamaan pelaksanaan program ialah di kawasan pinggiran bandar dan luar bandar dengan pecahan kluster lokasi termasuk kompleks kerajaan, kawasan perumahan berkepadatan tinggi dan outlet peruncitan FAMA.

“Program ini akan meningkatkan kebolehcapaian dan ketersediaan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan makanan pada kadar harga yang munasabah sekali gus mengurangkan kos sara hidup,” katanya.