Anggap masyarakat India, Cina tidak setia, Gobind selar Tun M

Gobind
Gobind
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Digital, Gobind Singh Deo menyelar tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan kesetiaan masyarakat India dan Cina terhadap tanah air ini.

Menurutnya, kesetiaan kedua-dua kaum itu tidak boleh dinilai hanya bersandarkan kepada amalan kumpulan itu yang bertutur dalam bahasa ibunda atau menganuti budaya dan adat sendiri.

Justeru katanya, amat malang apabila pandangan itu dikeluarkan oleh bekas Ahli Parlimen Langkawi yang pernah mentadbir negara sebanyak dua kali memandangkan beliau seharusnya lebih memahami perkara tersebut.

"Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa dan kaum. Warga Malaysia adalah dari pelbagai latar belakang agama dan budaya. Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf perkara ini dengan jelas bahawa kecuali sebagaimana yang dibenarkan secara nyata oleh Perlembagaan itu sendiri.

"(Jadi) tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara hanya atas alasan agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang.

"Ia juga diterima umum bahawa ramai rakyat kita bercakap lebih daripada satu bahasa, kebanyakan mereka fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa ibunda mereka sendiri yang termasuk antara lain, Cina, Tamil, Iban atau Kadazan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dr Mahathir dilapor mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.

Pandangan itu disuarakan beliau dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Gobind yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, kenyataan tidak sensitif Dr Mahathir itu juga boleh memecahbelahkan masyarakat majmuk di negara ini.

"Dr Mahathir mesti mengakui bahawa semua rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India, Sabah atau Sarawak telah bekerja dan masih bertungkus lumus membina negara ini.

"Tidak salah jika kita datang daripada latar belakang kaum, agama dan budaya yang berbeza atau bercakap dalam bahasa yang berbeza. Kita sememangnya rakyat Malaysia dan setia kepada negara kita," katanya.