'Buktikan saya rasuah YDPA ' - Tun M

Tun M
Tun M
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak individu yang menuduhnya telah merasuah Yang di-Pertuan Agong untuk menampilkan bukti.

Menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas, Dr Mahathir turut menempelak individu berkenaan kerana menyembunyikan identiti setelah menyebarkan dakwaan terbabit.

“Di media sosial menyatakan saya merasuah Yang di-Pertuan Agong RM500 juta hingga RM1bilion.

“Sila buktikan bahawa saya melakukan ini. Membuat kenyataan sedemikian dan menyembunyikan identiti anda adalah pengecut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Dr Mahathir berkata, pihak yang melemparkan fitnah tersebut seolah-olah turut mencadangkan agar Yang di-Pertuan Agong ditangkap kerana menerima rasuah daripada beliau.

“Adakah beliau mempunyai bukti bahawa Agong mengambil RM1bilion daripada saya? Sila juga buktikan bahawa saya mempunyai wang,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir secara sinis mengatakan beliau sebelum ini kerap dilemparkan tuduhan memiliki wang yang banyak, namun tidak dapat dibuktikan.

“Seperti yang semua orang tahu (Datuk Seri) Anwar Ibrahim pernah berkata saya ada berbilion ringgit. Diminta tunjukkan bukti saya ada duit, sampai sekarang dia belum dapat buktikan saya ada duit.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang kenyataan bahawa saya merasuah Agong dengan RM1bilion bermakna saya ada wang. Jika Anwar tidak dapat membuktikannya sehingga kini mungkin pencetus kenyataan itu harus menunjukkan kepada Anwar bahawa saya mempunyai wang untuk merasuah,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai tindakan Setiausaha Politik Kanan kepada Anwar, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang telah membuat laporan polis bahawa bercakap mengenai penyingkiran Perdana Menteri harus diharamkan.

“Kita tidak boleh bercakap tentang 3R. Kita tidak boleh mempolitikkan bajet. Sekarang kita tidak boleh bercakap tentang penggulingan PM. Jadi tiada siapa boleh bercakap tentang apa-apa.

“Dan inilah kerajaan yang dipimpin oleh seorang lelaki yang sebelum ini bercakap tentang reformasi, tentang kebebasan dan lain-lain,” ujarnya sinis.