Jakim diminta usulkan isu penukaran agama, perhalusi daftar pengislaman

Mohd Na'im. Laporan Sinar Harian
Mohd Na'im. Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) diminta mengusulkan perkara berkaitan penukaran agama kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang yang dipengerusikan Tun Datuk Seri Zaki Azmi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, usul itu penting untuk diperhalusi supaya perkara berkaitan pendaftaran pengislaman dapat diharmonikan dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Pada ketika ini, terdapat lapan negeri yang menghendaki keizinan hanya daripada salah satu pihak sama ada ibu atau bapa iaitu Wilayah Persekutuan, Melaka, Sarawak, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Terengganu dan Perlis.

“Lima negeri lain seperti Pulau Pinang, Sabah, Johor, Selangor dan Pahang memerlukan kebenaran kedua-duanya bagi kanak-kanak yang belum mencapai 18 tahun untuk memeluk Islam.

“Bagi Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Johor, peruntukan itu merupakan bantuan asal dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam/Enakmen Majlis Agama Islam negeri-negeri, manakala Pahang menggantikan perkataan ‘ibu atau bapa’ kepada ‘ibu dan bapa’ pada 2020, selepas keputusan kes Indira Gandhi,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Mohd Na’im, jabatannya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Ujarnya, ia berikutan kes mengekalkan status quo agama Islam tiga anak Loh Siew Hong yang ditukar secara unilateral oleh bekas suami, Nagahswaran Muniandy.

“Saya percaya penghakiman tersebut dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Yang Arif Hakim Mahkamah Rayuan.

Artikel Berkaitan:

“Ia berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bagi mencari penyelesaian terbaik untuk maslahat semua pihak sama ada yang beragama Islam atau bukan,” ulasnya.

Mohd Na’im berkata, Mahkamah Rayuan dalam kes tersebut memutuskan bahawa dalam isu penukaran agama itu, ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 dalam kes Indira Gandhi.

Jelasnya, Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu dalam hal pemelukan agama Islam anak yang berumur bawah 18 tahun sekiranya penjaga masih hidup.

“Mahkamah Persekutuan dalam kes ini juga mentafsirkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan berkenaan penukaran agama kanak-kanak yang belum 18 tahun perlu mendapat kebenaran ibu dan bapa,” tambahnya.