MAIPs tidak dibenar beri Pendidikan Islam, tiga anak Siew Hong

Siew Hong (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu bagi mendengar keputusan permohonan MAIPs untuk menjalankan tanggungjawab termasuk memberi pendidikan asas agama Islam kepada tiga anak mualafnya.
Siew Hong (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu bagi mendengar keputusan permohonan MAIPs untuk menjalankan tanggungjawab termasuk memberi pendidikan asas agama Islam kepada tiga anak mualafnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk menjalankan tanggungjawab termasuk memberi pendidikan asas agama Islam kepada tiga anak mualaf kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong.

Hakim, Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan demikian selepas mendapati permohonan MAIPs tidak bermerit dan tidak dibuat atas kepentingan kanak-kanak berkenaan.

Ketika memutuskan demikian, beliau berkata, MAIPs gagal dalam permohonannya dan tiada justifikasi yang wajar dan mengikut undang-undang.

Beliau berkata, tiga kanak-kanak ini terpaksa menempuhi hidup dalam perpecahan keluarga dan pengalaman trauma terhadap sikap bapanya.

“Sedangkan perselisihan yang berlarutan ini tidak perlu berlaku demi kepentingan kanak-kanak itu.

“Pihak-pihak perlu menerima keadaan ini dan jangan campur tangan kehidupan mereka,” kata hakim itu.

Sementara itu, Siew Hong berharap tiada lagi pihak mencampuri urusannya bersama tiga anak mualaf.

“Saya nak hidup dengan tenang bersama anak-anak, tidak mahu orang (pihak lain) kacau saya, cukuplah.

Artikel Berkaitan:

“Selaku seorang ibu dan saya hanya mahu fokus mengenai pendidikan mereka, bukan fikir pasal kes mahkamah sahaja, kerana kami mahu hidup dengan tenang,” katanya dalam keadaan sebak selepas ditanya pemberita sekiranya ada pihak-pihak memfailkan sebarang permohonan kepada mahkamah berhubung isu itu.

Sebelum ini dalam petisyen cerai, Siew Hong telah diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas anak-anaknya pada Februari tahun lalu.

Wanita berusia 35 tahun ini mendapat hak penjagaan selepas Muhammad Nagahswaran melarikan dan menukar agama tiga anak tanpa kebenaran Siew Hong selaku ibu kanak-kanak itu.

Pada 21 Februari tahun lalu, tiga beradik berkenaan diletakkan bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kemudian diserahkan kepada Siew Hong apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.

MAIPs memfailkan permohonan untuk campur tangan pada 7 Mac tahun lalu, bagi membolehkan pihak berkuasa agama mempunyai locus standi untuk memohon mengubah syarat perintah tahanan yang diberikan kepada wanita tersebut.

Majlis ini memohon perintah variasi bagi melaksanakan tanggungjawab terhadap tiga kanak-kanak itu antaranya membawa mereka menunaikan solat Jumaat dan meraikan hari-hari kebesaran Islam di masjid berhampiran dengan rumah.

Perintah itu juga termasuk memberi bantuan zakat serta membantu menampung kos sara hidup kanak-kanak itu dari aspek pendidikan, keperluan dan kebajikan.