Kes tukar agama tiga anak: Hormati keputusan mahkamah - Mufti

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar keci: Wan Salim
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar keci: Wan Salim
A
A
A

GEORGE TOWN - Mufti Pulau Pinang meminta semua pihak menerima dan menghormati keputusan dibuat Mahkamah Rayuan Putrajaya berhubung status agama Islam tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong.

Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor turut meningatkan bahawa mana-mana pihak tidak dibenarkan untuk memaksa seseorang itu untuk menganut agama Islam dan menurut hukum Islam itu sendiri, ia satu perbuatan yang ditegah.

Menurutnya, semua orang perlu sedar bahawa ia adalah isu keyakinan berdasarkan kebebasan memilih mana-mana agama yang ingin dianuti.

"Menurut hukum Islam, tiada siapa pun dibenarkan untuk memaksa seseorang untuk menganut agama Islam.

Ketiga-tiga kanak-kanak itu kini telah sampai ke tahap usia matang yang membolehkan mereka membuat pilihan agama yang mereka mahu anuti.

"Mereka perlu diberi kebebasan sepenuhnya untuk membuat pilihan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mahkamah Rayuan Putrajaya telah memutuskan bahawa pengislaman tiga kanak-kanak yang dibuat secara unilateral (sebelah pihak) oleh bapa mereka tanpa kebenaran bekas isterinya tidak sah dan terbatal.

Justeru dengan keputusan itu, agama tiga kanak-kanak itu iaitu bagi pasangan kembar yang kini berusia 16 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun kekal sebagai Hindu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, tawaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk memberi bantuan kewangan kepada kanak-kanak itu serta menyediakan pendidikan Islam untuk merupakan satu hasrat yang mulia.

"Bagaimanapun, terserah kepada Siew Hong dan anak-anak beliau sama ada mahu menerima tawaran itu atau sebaliknya.

"Sebagai pihak berkuasa agama Islam, tentunya pihak MAIPs ingin melaksanakan tanggungjawabnya untuk memelihara akidah dan kebajikan kanak-kanak berkenaan jika sekiranya mereka masih mahu menjadi orang Islam.

"Namun, sekiranya mereka sendiri memilih agama lain, maka mereka tidak boleh dipaksa untuk menerima tawaran tersebut," katanya.

Wan Salim berkata, beliau berharap agar semua pihak dapat menghayati semangat toleransi beragama yang selama ini menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia yang amat membantu ke arah mengekalkan kestabilan hidup pelbagai kaum di negara ini.