PBAPP guna 99 lori tangki air sepanjang gangguan bekalan air

Sebanyak 99 buah lori tangki termasuk 27 bersaiz jumbo akan digunakan sepanjang empat hari gangguan bekalan air.
Sebanyak 99 buah lori tangki termasuk 27 bersaiz jumbo akan digunakan sepanjang empat hari gangguan bekalan air.
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bakal menggunakan 99 buah lori tangki air untuk menghantar bekalan kepada pengguna yang terjejas berikutan gangguan bekalan air berjadual bermula 10 Januari depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Pathmanathan K berkata, jumlah lori tangki itu termasuk 27 bersaiz jumbo antara paling besar digunakan dalam sejarah bekalan air di negeri ini.

Menurutnya, lori tangki bersaiz jumbo itu disewa khas oleh PBAPP dan mampu menyimpan 40,000 liter air terawat.

"Kita turut akan menggunakan lapan lori tangki PBAPP, 34 lori tangki pasukan bomba sukarela dan 15 lori tangki yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai.

"Dalam memastikan bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna yang terjejas, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut menyediakan 15 buah lori tangki berkapasiti 5,000 liter dan 10,000 liter dalam misi kali ini," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Sabtu.

Pathmanathan berkata, pelan penempatan tangki PBAPP akan mengikut pelan pemulihan berperingkat seperti yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, selain penggunaan lori tangki, pihaknya juga sedang memasang 97 tangki air statik bagi menyimpan air untuk diambil oleh pengguna terjejas.

Jelasnya, tangki air berkenaan termasuk jenis 'tangki fleksi gajah' yang disewa dan mempunyai kapasiti 24,000 liter.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 19 unit tangki fleksi gajah ini akan ditempatkan di Balik Pulau, Batu Maung,Batu Uban,Bukit Tengah, Bayan Lepas, Jawi, Pantai Jerejak, Paya Terubong, Pulau Betong dan Sungai Acheh.

"Bagi tangki statik biasa berkapasiti 2,500 liter akan ditempatkan di semua kawasan terjejas," ujarnya.

Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, semua tangki statik yang disediakan oleh wakil rakyat akan diisi secara berkala oleh kumpulan lori tangki.

Tambahnya, PBAPP merancang untuk membekalkan kira-kira 1.85 juta liter air terawat sepanjang tempoh gangguan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik yang ditempatkan di kawasan terlibat.

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula jam 6 pagi pada 10 Januari hingga jam 6 pagi 14 Januari ini bagi membolehkan kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang.