Gangguan bekalan air: Pengusaha restoran guna ais untuk memasak


Abbas (kanan) membantu salah seorang pekerjanya menyediakan makanan kepada pelanggan.
Abbas (kanan) membantu salah seorang pekerjanya menyediakan makanan kepada pelanggan.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Masih terdapat beberapa kedai makan termasuk restoran nasi kandar di kawasan Teluk Kumbar dan George Town yang beroperasi pada hari pertama gangguan bekalan air berjadual di negeri ini.

Bagaimanapun, tinjauan di beberapa lokasi di negeri ini mendapati, ada pemilik kedai makan dan restoran menutup premis mereka berikutan gangguan bekalan air selama lima hari itu.

Pengurus sebuah restoran nasi kandar di Teluk Kumbar, Abbas Ali, 30-an berkata, mereka tidak bercadang untuk menutup operasi sepanjang lima hari gangguan itu berikutan telah menyimpan stok air di dalam empat tangki besar untuk kegunaan premis berkenaan.

Menurutnya, stok air tersebut hanya untuk kegunaan membasuh premis serta peralatan memasak sementara menggunakan ais yang telah dicairkan untuk memasak.

"Tauke tak cakap nak tutup (operasi), jadi kita masih beroperasi seperti biasa. Ini kerana, bekalan air mungkin cukup. Untuk membasuh, kami guna air di dalam empat tangki besar yang berisi padu 1,600 liter. Sementara untuk masak dan bancuh air, kami cairkan ketulan ais.

"Selain itu, kami guna pinggan, sudu, garfu dan cawan plastik (pakai buang) manakala untuk kegunaan harian 11 pekerja, kami akan ke sungai berdekatan untuk mandi dan basuh baju," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Pemilik Restoran Kak Eja & Abang Jeff, Yusriza Abd Hamid, 52, pula berkata, premisnya akan ditutup bermula Khamis sehingga bekalan air pulih sepenuhnya yang dijangka pada 14 Januari nanti.

"Hari ini (hari pertama), saya masih buka kedai tetapi amat susah untuk beroperasi kerana kekangan bekalan air. Saya guna 30 karton air mineral bersaiz besar (1 liter) untuk memasak dan bancuh air.

Artikel Berkaitan:

"Sementara untuk membasuh peralatan memasak, saya guna air yang disimpan dalam lebih 30 plastik sampah bersaiz XL. Untuk pelanggan makan, saya guna pinggan, sudu dan gelas pakai buang.

"Semua simpanan air sudah habis hari ini, jadi bermula esok sehingga 14 Januari, saya akan tutup premis. Saya terpaksa (menutup premis) walaupun berdepan kerugian ribuan ringgit," ujarnya.

Surina menunjukkan bekalan air yang disimpan untuk kegunaan gerainya sepanjang gangguan bekalan air berjadual di Pulau Pinang.
Surina menunjukkan bekalan air yang disimpan untuk kegunaan gerainya sepanjang gangguan bekalan air berjadual di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, peniaga gerai, Surina Ahmad, 54, berkata, dia akan meneruskan perniagaan sehingga simpanan air bersihnya habis.

"Saya ada simpan tiga tong besar dan dua tong kecil. Ini untuk kegunaan masak dan basuh perkakas memasak. Saya rasa cukup sehingga Jumaat kerana saya buka kedai dari jam 7 hingga 11.30 pagi sahaja.

"Lagi pun saya guna pinggan, cawan dan sudu pakai buang. Jadi jimat air sikit kerana tak perlu basuh. Saya kena berniaga kerana ini satu-satunya punca pendapatan saya," katanya.

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan sebanyak 590,000 akaun pengguna bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 10 hingga 14 Januari.

Ia termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama di negeri ini.

Yusriza terpaksa menutup premisnya bermula Khamis kerana masalah air bersih.
Yusriza terpaksa menutup premisnya bermula Khamis kerana masalah air bersih.

Kawasan yang terjejas termasuk majoriti di kawasan Seberang Perai manakala di bahagian pulau ialah Pulau Tikus, George Town, Jelutong, Gelugor, Bukit Jambul, Relau, Bayan Lepas, Bayan Baru, Batu Maung, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

Bagaimanapun, kawasan Air Itam, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang tidak terjejas kerana kawasan tersebut mendapat bekalan air dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

Gangguan tersebut akan berlaku selama lima hari untuk membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Kerja pembaikan paip tersebut melibatkan penggantian dua unit injap kawalan utama sebesar 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dalam LRA yang bocor.