Saluran paip bawah Sungai Perai bocor lagi

PBAPP sedang menyiasat kejadian paip bocor di Sungai Perai.
PBAPP sedang menyiasat kejadian paip bocor di Sungai Perai.
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengesahkan berlaku satu lagi kebocoran di saluran paip bawah Sungai Perai.

PBAPP dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 11 pagi, Jumaat.

Menurut PBAPP, kakitangannya sedang menyiasat punca dan lokasi kebocoran untuk memeriksa sama ada ia berada di bahagian sama yang telah dibaiki pada Khamis.

"Walaupun berlaku kebocoran, PBAPP akan terus mengepam air melalui saluran paip buat masa ini.

"Pengguna pemulihan tahap 2 diminta untuk menyimpan air untuk kegunaan harian," katanya pada Jumaat.

Paip di dasar Sungai Perai didapati bocor pada jam 11 pagi Jumaat.
Paip di dasar Sungai Perai didapati bocor pada jam 11 pagi Jumaat.

PBAPP berkata, saluran paip itu mungkin ditutup untuk kerja-kerja pembaikan kecemasan.

"Keadaan ini masih dalam siasatan. PBAPP akan berkongsi hasil siasatan apabila mempunyai maklumat dan data yang tepat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, PBAPP memaklumkan kerja membaiki saluran paip di dasar Sungai Perai telah siap yang membabitkan kerja-kerja mengikat pengapit yang diubah suai pada saluran itu.

Sungai Perai merupakan lokasi terakhir daripada keseluruhan 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang yang menjalani kerja pembaikan sampingan selain kerja utama mengganti dua unit injap 1,200 milimeter (mm) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Sebelum ini, kira-kira 200,000 pengguna air di Barat Daya (bahagian pulau) dan Seberang Perai (kawasan seberang) mengalami gangguan bekalan air bermula Selasa.

Gangguan itu berikutan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah.

Penutupan tersebut bagi memudahkan kerja kimpalan bawah air untuk membaiki kerosakan pada saluran paip berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, kejadian terbaharu itu amat membimbangkan berikutan kawasan berkenaan adalah yang paling terjejas setiap kali gangguan bekalan air di negeri ini.

Azrul (kiri) membantu salah seorang penduduk mengambil bekalan air daripada salah sebuah tangki air yang diletakkan di pekarangan Flat Bandar Baru Perda, Teluk Kumbar.
Azrul (kiri) membantu salah seorang penduduk mengambil bekalan air daripada salah sebuah tangki air yang diletakkan di pekarangan Flat Bandar Baru Perda, Teluk Kumbar.

Menurut beliau, kejadian tersebut akan menyebabkan penyaluran air di kawasan DUN Bayan Lepas terhenti semula.

"Sejak semalam, ada beberapa kawasan di sekitar DUN Bayan Lepas antaranya di Batu Maung, kampung-kampung di Teluk Kumbar, Relau dan Sungai Ara telah mendapat bekalan air. Walaupun tekanan air rendah, namun mereka sudah dapat air.

"Bagaimanapun, tadi saya baru terima maklumat bahawa berlaku kebocoran pada paip dasar sungai di Sungai Perai dan ini amat membimbangkan.

"Ini kerana, kawasan yang sudah mendapat air, bekalan akan berhenti semula manakala kawasan yang belum terima air, akan berterusan tiada air. Ini akan menyukarkan penduduk terlibat," katanya ketika ditemui di Flat Bandar Baru Perda, Teluk Kumbar di sini.

Azrul berkata, pada masa ini, terdapat 10 lori tangki air berkapasiti 40,000 liter yang diletakkan di beberapa kawasan DUN Bayan Lepas kebanyakan telah kehabisan air dan perlu diisi semula.

"Pengisian air tangki ini akan mengambil masa dan kami berharap paip yang bocor di Sungai Perai akan dapat dibaiki segera," katanya.