Didenda RM13,000, guna dokumen palsu tuntut insentif Penjana Kerjaya

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengurus syarikat latihan teknologi maklumat (IT) didenda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini. kerana mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM9,500, tiga tahun lepas.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas S Kamala Segaran, 48, selepas dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut kesemua pertuduhan itu, Kamala Segaran didakwa menggunakan tiga dokumen palsu iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Perusahaan Tech Train Consultancy bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 PERKESO berjumlah RM9,500, yang mana pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja syarikat itu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Wisma PERKESO, Jalan Tun Razak di Kampung Baru di sini antara 25 Jun dan 21 Disember 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Yasri Yahya memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh.

Peguam R Babu Naidu, yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya seorang bapa tunggal yang menanggung anak berusia enam tahun serta ibu bapanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: