Koo Ham biadab kaitkan kebakaran disebabkan kenyataan sentuh Islam - Pemuda PN

Ahmad Fadhli menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, pada Khamis.
Ahmad Fadhli menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, pada Khamis.
A
A
A

KAJANG - Pemuda Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung kenyataan berkaitan kejadian kebakaran di rumahnya, di Ayer Tawar, Manjung, Perak, pada Rabu.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan yang dibuat oleh Koo Ham yang mengesyaki kejadian kebakaran rumahnya disebabkan isunya mencampuri urusan Islam disifatkan sebagai biadab kerana mendahului siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis.

"Susulan daripada itu satu laporan dibuat oleh Pemuda PN bagi menggesa pihak polis menyiasat kenyataan yang dikeluarkan oleh Koo Ham," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, pada Khamis.

Ahmad Fadhli berkata, dalam kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, pada Rabu, bahawa jangan ada sesiapa yang mendahului siasatan termasuklah mengeluarkan persepsi.

"Beliau (Saifuddin);juga menyatakan sangkaan terhadap mana-mana suspek kerana proses mengenali suspek dan menjalankan siasatan adalah merupakan kuasa pihak polis.

"Kita juga dari peringkat Pemuda Pas dan PN ingin menyatakan bahawa perbuatan khianat terhadap kediaman Koo Ham ini adalah perbuatan yang tidak boleh diterima dalam amalan demokrasi negara kita," katanya.

Hadir sama membuat laporan polis adalah Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ahmad Fadhli berkata, tindakan melakukan ugutan untuk membunuh dan melakukan khianat terhadap Koo Ham juga bukanlah satu pendekatan politik oleh PN.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap pihak polis dapat mempercepatkan siasatan meskipun beliau (Koo Ham) sudah memaafkan pelakunya dan bagi kami ini bukan hak beliau untuk memberi kemaafan, maaf atau tidak itu perkara kedua dan paling penting adalah pihak polis siasat dan heret pelaku ini ke muka pengadilan," katanya.

Sebelum ini Koo Ham mendapat perhatian meluas susulan cadangannya agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Koo Ham bagaimanapun memohon maaf dan menarik semula cadangannya selepas dikritik pelbagai pihak khususnya daripada masyarakat Islam.

Dalam kejadian jam 2.55 pagi Rabu, kediaman Koo Ham terbakar dan pihak polis mengesahkan bahawa kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat hasil penemuan botol yang digunakan sebagai bom petrol atau 'molotov cocktail ' di lokasi kejadian.

Pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati, kebakaran itu mengakibatkan kereta Mercedes Benz musnah terbakar.

Dua lagi kereta mengalami kesan kepanasan iaitu Honda CR-V dan Toyota Hilux. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.