'Kami tak buat cerita, gangguan ketukan pintu makin mengganas'

Laporan Sinar Harian. Arshat (kanan).
Laporan Sinar Harian. Arshat (kanan).
A
A
A

KUALA PILAH - Gangguan ketukan pintu waktu malam di Kampung Kepis Ulu di sini semakin 'mengganas' apabila lebih 10 rumah yang menjadi mangsa dalam tempoh sehari.

Malah difahamkan ada rumah yang diketuk sebanyak 15 kali selain ada yang mendengar bunyi pergerakan 'seseorang' di belakang rumah.

Menurut penduduk, Arshat Yusof, 66, keadaan itu menyebabkan ada sebuah keluarga minta dipindahkan ke rumah sepupu selepas diganggu bunyi ketukan misteri tersebut.

"Rumah itu dihuni ibu tunggal bersama dua anak lelaki. Jadi mereka ketakutan selepas pintu rumah diketuk beberapa kali.

"Kita bantu bawa keluarga ini ke rumah sepupunya yang jauh dari situ, tapi agak mengejutkan kira-kira sejam duduk di situ, dia hubungi kami maklumkan yang rumah itu pula diketuk," katanya.

Tambahnya lagi, ketukan misteri itu mula mengganggu penduduk seawal jam 10.48 malam pada Selasa dan berakhir sebelum azan Subuh kira-kira jam 6 pagi.

Jelasnya, seperti biasa sebaik menerima maklumat adanya bunyi ketukan itu, mereka bergegas pergi ke lokasi, namun tidak menemui sebarang 'petanda'.

"Sebelum ini antara dua dan tiga buah rumah saja, tapi malam tadi (Selasa) nampaknya makin mengganas apabila 12 rumah yang diganggu.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang menunggu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada sebuah rumah penduduk yang menjadi mangsa bagi mengenal pasti apa sebenarnya yang mengganggu," katanya.

Arshat berkata, pintu rumah tersebut diketuk 15 kali kira-kira jam 3 pagi dan apabila diintai tidak nampak apa-apa kelibat.

Keadaan itu katanya, membuatkan mereka semakin yakin yang kejadian berlaku mempunyai kaitan dengan ilmu hitam.

"Saya pun ada tanya dengan seorang budak kampung yang merupakan pengamal perubatan tradisional dan dia kata besar kemungkinan ada yang memuja 'benda' ini.

"Dia kini tinggal di Kuala Lumpur dan Insya-ALLAH dia akan balik nanti untuk tengok apa berlaku," katanya.

Dalam pada itu Arshat meluahkan perasan kecewa apabila ada individu yang beranggapan penduduk kampung itu sengaja mereka cerita berhubung kejadian berlaku.

Jelasnya, mereka boleh membuat tuduhan begitu kerana ia tidak terjadi kepada diri sendiri.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan keresahan penduduk berhubung kejadian berlaku yang mula menghantui mereka sejak 31 Disember lalu.