Polis lupus barang rampasan RM1.16 juta

Kesemua barang melibatkan jenayah kontraban, perjudian dan bitcoin bernilai RM1.16 juta dilupuskan.
Kesemua barang melibatkan jenayah kontraban, perjudian dan bitcoin bernilai RM1.16 juta dilupuskan.
A
A
A

LUMUT - Polis melupuskan 12,937 barang kes melibatkan jenayah bitcoin, perjudian dan kontraban dianggarkan bernilai RM1.16 juta yang dirampas sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pelupusan tersebut dibuat bagi kes-kes yang telah selesai proses pendakwaan di mahkamah membabitkan sebanyak 254 kertas siasatan.

"Sebanyak 1,063 peralatan dilupuskan bagi 17 kes kecurian elektrik melalui kegiatan melombong bitcoin, empat kes kontraban melibat 11,590 karton rokok pelbagai jenis dan 284 alat seperti telefon bimbit dilupuskan bagi 233 kes perjudian.

"Kesemua kes ini telah dirujuk ke mahkamah dan pejabat Timbalan Pendakwa Raya serta mendapat arahan pelupusan," katanya pada Majlis Pelupusan Barang Kes Bahagian Siasatan Jenayah Siri 1/2024 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini pada Selasa.

Mohamed Nordin (tengah) bersama Nurul Izalina dan Mohd Hairol melupuskan menunjukkan antara barang kes untuk dilupuskan.
Mohamed Nordin (tengah) bersama Nurul Izalina dan Mohd Hairol melupuskan menunjukkan antara barang kes untuk dilupuskan.

Hadir sama Majistret Mahkamah Majistret Seri Manjung, Nurul Izalina Rajaai dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hairol Jemain.

Menurut beliau, pelupusan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dan sisa pepejal itu dilaksanakan di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 oleh syarikat yang berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar.

Kesemua barang kes membabitkan sebanyak 254 kertas siasatan kontraban, perjudian dan bitcoin dilupuskan dalam satu majlis di IPD Manjung.
Kesemua barang kes membabitkan sebanyak 254 kertas siasatan kontraban, perjudian dan bitcoin dilupuskan dalam satu majlis di IPD Manjung.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nordin berkata, siasatan terhadap kes penemuan tengkorak dan serpihan tulang dipercayai milik manusia di atas bumbung bangunan sebuah syarikat di Sitiawan, Oktober tahun lalu masih diteruskan.

"Kita masih lagi siasat dan setakat ini enam individu iaitu saksi awam telah diambil keterangan," katanya ringkas.

Sinar Harian melaporkan dua rangka manusia tanpa jantina dan identiti ditemukan bersama sehelai bendera Perak pada 16 Oktober 2023.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.