Kedah tidak mahu lagi jadi ‘feeder’, bangkit menerusi The Greater Kedah

Sanusi (tengah) ketika melancarkan Pelan Strategik Portfolio 2024-2028 disaksikan Haim Hilman (kanan) di Dataran Wisma Darul Aman.
Sanusi (tengah) ketika melancarkan Pelan Strategik Portfolio 2024-2028 disaksikan Haim Hilman (kanan) di Dataran Wisma Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah tidak mahu lagi dilabel sebagai negeri ‘feeder’ kepada kemajuan negeri lain, sebaliknya akan muncul sebagai negeri maju menerusi pelan The Greater Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelbagai sumber dimiliki Kedah akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan negeri ini yang bakal memberi impak besar dalam ekonomi.

Menurutnya, Kedah harus bangkit segera untuk mengubah lanskap kepada sebuah negeri maju seiring dengan perubahan dan kemajuan ekonomi semasa, terutama di rantau ini.

“Kita ada hasil pertanian, hasil bumi, kawasan perindustrian berteknologi tinggi, dua pintu sempadan sebagai laluan keluar masuk import dan eksport serta pulau bebas cukai.

“Namun akibat percaturan pihak tertentu, Kedah diletakkan sebagai ‘feeder’ atau ‘tukang suap’ untuk kekayaan negeri-negeri lain. Kita diletakkan sebagai negeri pengeluar padi untuk dibekalkan ke seluruh negara sedangkan negeri kita sendiri kekal sebagai negeri miskin,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah bersama Menteri Besar di Dataran Wisma Darul Aman, pada Isnin.

Sanusi berkata, Kedah Aerotropolis terutama Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) merupakan langkah ke arah persiapan dalam melonjakkan ekonomi negeri mahupun negara pada masa hadapan.

“Thailand akan bina jambatan darat menghubungkan Laut Andaman dengan Teluk Siam, ia akan beri kesan besar kepada negara kita.

“Jika usaha kita berjaya direalisasikan, kita akan dapat melihat Kedah sebagai negeri paling maju dalam tempoh beberapa tahun lagi,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sanusi berkata, The Greater Kedah tidak boleh disalah anggap sebagai retorik politik kerana ia direncanakan untuk kepentingan rakyat, selain mengembalikan semula kegemilangan Kedah agar rakyat hidup sejahtera, makmur, maju dan bahagia.

Sanusi (lima dari kanan) bersama barisan Exco diberikan buku Pelan Strategik Portfolio 2024-2028 yang dilancarkan pada Isnin.
Sanusi (lima dari kanan) bersama barisan Exco diberikan buku Pelan Strategik Portfolio 2024-2028 yang dilancarkan pada Isnin.

“Dalam usaha merealisasikan visi ini, kita tubuhkan jawatankuasa pemandu untuk koordinasi dan integrasikan segala data dan informasi berkaitan The Greater Kedah, dipengerusikan oleh Exco, Haim Hilman Abdullah.

“Ia untuk selaraskan segala inisiatif The Greater Kedah bagi memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan lancar, tepat dan signifikan,” ujarnya.

Sanusi yakin The Greater Kedah akan mencapai matlamatnya dalam jangka panjang.

“Walaupun saya ahli politik, fokus saya adalah untuk rakyat. Kedudukan sebagai Menteri Besar bukan untuk kepentingan diri tetapi tanggung jawab kepada negeri dan masyarakat.

"Jawatan boleh datang dan pergi bila-bila masa, yang lebih penting ialah amanah yang diberikan,” katanya.

Sanusi juga yakin prestasi Kedah dalam menarik pelaburan secara konsisten menyebabkan Kerajaan Persekutuan tidak lagi boleh berdalih dengan alasan untuk menangguhkan kelulusan pembinaan KXP.

“Pencapaian pelaburan Kedah membuktikan negeri ini berpotensi dan beri impak besar terhadap lonjakan ekonomi negara dengan adanya lapangan terbang kargo itu kelak.

“Kunjungan saya bersama delegasi KXP ke beberapa negara termasuk Itali memperlihatkan minat mendalam komuniti industri logistik dan penerbangan antarabangsa terhadap konsep KXP.

“Ramai pemain industri beri komitmen untuk menanam modal di Sidam Logistic Aerospace & Manufacturing Hub (SLAM) yang akan dibina sebagai salah satu komponen Kedah Aerotropolis,” ujarnya.

Sanusi memaklumkan, kerajaan negeri akan memastikan kelangsungan momentum pelaburan dapat dikekalkan apabila Kedah berjaya menempatkan syarikat global Fortune 500 sebagai pelabur di negeri ini.

“Peranan jentera kerajaan melibatkan segmen pelaburan amat penting. Jabatan dan agensi seperti Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Invest Kedah Berhad (IKB), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kulim Technology Park Corporation (KTPC) dan agensi teknikal negeri dan Persekutuan perlu bergerak seiring dengan prinsip mesra pelabur.

“Semua jentera pelaburan akan bergerak bersama bawah satu payung ‘Kedah One Investment Team’,” jelasnya lagi.