Sandwic tercemar: Peniaga R&R berdepan tindakan undang-undang

Laporan Sinar Harian pada 23 Disember lalu. Gmabar kecil: Kasemani
Laporan Sinar Harian pada 23 Disember lalu. Gmabar kecil: Kasemani
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Peniaga di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman berdepan tindakan undang-undang susulan kes keracunan makanan yang dijual sehingga menyebabkan kematian seorang wanita pada Disember tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, keputusan ujian makmal terhadap sampel makanan diambil dari premis berkenaan menunjukkan berlaku pelanggaran dibawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

"Sebelum ini pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman telah menjalankan siasatan terhadap premis terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar berkaitan isu itu

"Beberapa sampel makanan serta swab peralatan dan pengendali makanan telah diambil untuk membantu siasatan.

"Kita dapati terdapat pelanggaran peraturan ditetapkan dan tindakan perundangan sedang diambil ke atas peniaga terlibat," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengusaha dan pengendali makanan supaya sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual.

"Pastikan makanan disediakan bersih serta selamat bagi mengelakkan kes keracunan makanan kepada pelanggan khususnya dan orang ramai amnya.

"Tindakan perundangan termasuk pendakwaan ke mahkhamah akan diambil terhadap pengusaha dan pengendali makanan yang cuai dalam penyediaan makanan sehingga menyebabkan makanan yang dijual kepada orang ramai tercemar oleh bahan atau bakteria, virus dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih dan pengendali makanan yang beretika.

"Amalkan konsep perhati dan pilih sebelum membuat keputusan membeli makanan dan lihat, hidu dan rasa sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi rosak," katanya.

Pada 23 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita berusia 54 tahun meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini didakwa akibat keracunan makanan yang dibeli di R&R itu.

Maklumat itu dikongsi kepada umum melalui hantaran yang dimuat naik seorang individu di grup media sosial Facebook Pengguna LPT (Lebuhraya Pantai Timur).

Individu berkenaan mendakwa ibu saudaranya itu datang dari Johor ke Terengganu untuk proses pendaftaran anak saudaranya ke sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini.

Katanya, sebelum mengalami keracunan makanan, wanita berkenaan telah singgah ke R&R itu dan telah membeli serta memakan sandwic tersebut.