Wanita didakwa meninggal dunia akibat keracunan makanan beli di R&R

Hantaran dimuat naik seorang individu mendakwa ibu saudaranya meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat keracunan makanan.
Hantaran dimuat naik seorang individu mendakwa ibu saudaranya meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat keracunan makanan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) didakwa akibat keracunan makanan yang dibeli di sebuah Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di negeri ini.

Maklumat itu dikongsi kepada umum melalui hantaran yang dimuat naik seorang individu di grup media sosial Facebook Pengguna LPT (Lebuhraya Pantai Timur) tiga hari lalu.

Menurut hantaran itu, individu berkenaan mendakwa ibu saudaranya itu datang dari Johor ke Terengganu untuk proses pendaftaran anak saudaranya ke sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini.

"Datang dari Johor ke Terengganu untuk pendaftaran anak buah ke UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin). Singgah makan di R&R, makan sandwich dibeli di R&R tersebut. Basi rupanya.

"Kena keracunan makanan, dua mangsa. Mak cik (ibu saudara) dan anak buah. Tapi mak cik yang teruk. Kritikal muntah dan berak nonstop (tak berhenti). Masuk air, 'collaps'.

"Masuk ICU Sultanah Zahirah (Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan meninggal malam tadi. Alhamdulillah dipermudahkan urusan bawa balik jenazah ke JB (Johor Bahru) dan selamat dikebumikan," tulisnya.

Menurut wanita berkenaan, kejadian berlaku dalam tempoh yang singkat iaitu selama dua hari dan dia turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli makanan.

"Amat berdukacita. Berhati-hatilah makan. Kepada para peniaga tolonglah bertanggungjawab sediakan makanan bersih dan jangan jual makanan berulang yang tak habis," tulisnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihak hospital telah melaporkan kejadian itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kini dalam tindakan.

Menjengah ke ruangan komen, terdapat perkongsian daripada seorang individu yang mendakwa situasi sama turut berlaku kepada dua beradik kembar yang ditahan wad di Dungun kerana mengalami keracunan makanan yang dibeli di R&R terbabit pada hari yang sama.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihak hospital ada menerima kes berkenaan.

Bagaimanapun, katanya siasatan sedang dijalankan dan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat.