SPRM siasat wang dibelanjakan, pelaburan jongkong emas Aman Palestin

Tan Sri Azam Baki
Tan Sri Azam Baki
A
A
A

SEPANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan sedikit masa bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dana melibatkan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya perlu mendapatkan pengesahan beberapa perkara berhubung kes tersebut.

Beliau berkata, selain menyiasat bagaimana wang-wang diterima Aman Palestin dibelanjakan, SPRM juga perlu menyiasat syarikat-syarikat yang ditubuhkan melibatkan dana diperoleh daripada orang ramai.

"SPRM masih menjalankan siasatan berhubung isu Aman Palestin dengan menyiasat adakah benar wang yang diterima daripada orang ramai telah dihantar kepada penerima sepatutnya.

"Selain itu, terdapat sedikit persoalan kepada pegawai penyiasat tentang pelaburan membeli jongkong emas dijalankan oleh Aman Palestin.

"Perkara ini juga perlu disiasat secara teliti dan jika ada yang tidak betul dalam isu ini, SPRM akan mencadangkan pertuduhan kepada pihak pendakwa raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 iaitu 'Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional'.

Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis sama berlangsung Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 dengan tema Memartabatkan Integriti Sektor Awam melalui Pemantapan Tatakelola Baik Nasional Asas Kemajuan Malaysia Madani.

Panel yang menjayakan simposium itu adalah Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia), Datuk Dr Hafsah Hashim; Pengerusi Sime Darby Berhad yang juga Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman serta Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Mengulas lanjut, Azam berkata, terdapat sedikit kesulitan timbul berhubung siasatan kes Aman Palestin itu apabila pihak disiasat mendakwa telah menghantar bantuan kepada pihak memerlukan.

Jelas beliau, pihaknya berhak memastikan siapakah penerima bantuan dan adakah ia betul atau tidak dilaksanakan.

Tegas beliau lagi, perkara itu juga perlu dibuat pengesahan oleh pegawai penyiasat SPRM dan pastinya siasatan terperinci serta teliti perlu dijalankan.

Selain itu menurut beliau, wang yang dimiliki oleh Aman Palestin di dalam bank perlu disita untuk tujuan siasatan.

"Ada beberapa nama diberikan sebagai suspek dan pihak SPRM perlu mengetahui siapakah mereka ini.

"Oleh sebab itu, kita memerlukan sedikit masa untuk menyiasat kes ini," ujarnya.