Aman Palestin nafi 41 akaun, aset bukan sumber haram

Rafique (tengah) pada sidang akhbar yang diadakan pada Isnin.
Rafique (tengah) pada sidang akhbar yang diadakan pada Isnin.
A
A
A

BANGI – Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) mengesahkan 41 akaun yang dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sepenuhnya milik badan itu.

Peguam Aman Palestin, Rafique Rashid berkata, sebahagian akaun itu merupakan milik rakan strategik Aman Palestin dan akaun lembaga pengarah dan kakitangan.

Menurutnya, sehingga kini aset-aset yang telah dibekukan berupa 12 bidang tanah, empat bangunan, empat buah kereta termasuk wang berjumlah RM15.86 juta yang merupakan hasil sumbangan rakyat Malaysia.

“Ke semua aset ini semata-mata untuk pelaburan yang dibenarkan di bawah memorandum dan artikel Aman Palestin bertujuan mempertingkatkan kemampuan Aman Palestin memberi bantuan kemanusiaan bukanlah bagi tujuan peribadi ahli lembaga pengarah Aman Palestin,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Tegasnya, aset terbabit diperolehi dengan hasil yang halal dan bukan daripada sumber yang haram.

Difahamkan kali pertama SPRM hadir ke premis berdaftar Aman Palestin adalah pada 17 Oktober lalu, namun tiada serbuan atau tangkapan dibuat pada ketika itu. Penggeledahan dan pembekuan akaun hanya berlaku sehari selepas kenyataan SPRM dikeluarkan pada 23 November,

“Kesemua dokumen yang diminta juga diserahkan salinan masing-masing. Sehingga kini Aman Palestin telah mengeluarkan kos fotokopi dokumen-dokumen berkenaan hampir RM12,000.00," katanya.

Beliau turut mengesahkan sehingga hari ini seramai tiga staf, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan lima ahli lembaga pengarah telah dipanggil ke pejabat SPRM di Putrajaya. Kesemua staf, CEO dan ahli lembaga pengarah hadir tanpa mengelak atau memberi sebarang sebab ketidakhadiran.

Artikel Berkaitan:

"Aman Palestin mempunyai lima ahli lembaga pengarah dan masing-masing merupakan pemegang amanah kepada segala sumbangan yang diterima oleh Aman Palestin.

"Aman Palestin mempunyai kuasa antara lainnya menggunakan dana-dana yang dikutip dan melaburkan dalam pelbagai pelaburan patuh syariah serta patuh undang-undang. Keuntungan pelaburan ini digunakan bagi mencapai matlamat Aman Palestin membantu Palestin, Lubnan, Syria, Yaman dan umat-umat lain yang tertindas, kerja-kerja kemasyarakatan serta apa-apa sahaja matlamat Aman Palestin," katanya.

Beliau berkata, siasatan SPRM telah bermula pada 17 Oktober lalu, namun sehingga ke hari ini tiada satu pun rampasan atau paparan rampasan barang-barang kes seperti mana kes-kes lain melibatkan penyelewengan wang atau hasil aktiviti haram seperti kereta-kereta mewah, timbunan wang-wang pelbagai denominasi, barang-barang kemas ataupun harta-harta rampasan lain.

“Kenyataan media pihak SPRM bertarikh 23 November pada perenggan ketiga, jelas berniat jahat dan sengaja diterbitkan untuk membina persepsi negatif terhadap Aman Palestin. Ia seolah-olah telah menghukum Aman Palestin bersalah menyeleweng dana RM70 juta (yang dinafikan).

“Kenyataan-kenyataan SPRM berkait dengan kes ini ternyata tidak cermat, tidak teliti, tidak boleh dipercayai dan tidak berintegriti," ujarnya.

Jelasnya, SPRM adalah sebuah agensi penyiasatan, sebagai penyiasat, SPRM mestilah bertindak adil dalam siasatan dan tiada kuasa menghukum kerana ia bidang kuasa sistem kehakiman di mahkamah.

“Tindakan SPRM yang mengeluarkan kenyataan dari masa ke masa sebegini rupa tanpa membuat amaran kepada masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi, telah menimbulkan pelbagai tohmahan dan fitnah serta menyuburkan persepsi negatif seolah-olah berkomplot dengan pengamal media sosial yang tidak bertanggungjawab. Ini membawa impak besar terhadap Aman Palestin, ahli lembaga pengarahnya serta keluarga mereka.

“Sehingga kini pelbagai fitnah dilempar terhadap Aman Palestin dan ahli lembaga pengarahnya. Sedangkan ia langsung tidak benar sama sekali. Segala dana serta kutipan diurus dan dikembangkan sebaik mungkin sebelum disalurkan kepada pihak-pihak berkepentingan bertepatan dengan tujuan Aman Palestin ditubuhkan.

“Kenyataan Media SPRM yang tidak menjelaskan sepenuhnya 41 akaun yang dibekukan telah membawa fitnah jahat bahawa Aman Palestin mempunyai banyak akaun bank, sedangkan hanya 11 akaun Aman Palestin yang digunakan bagi memudahkan penyumbang dan penderma. Ini merupakan perkara biasa yang dilakukan oleh NGO dan pertubuhan kemanusiaan lain," ujarnya.

Rafique berkata, tindakan SPRM semenjak kenyataan media bertarikh 23 November sehingga sekarang dengan pembocoran maklumat-maklumat siasatan (yang dinafikan dakwaan-dakwaan itu) merupakan satu komplot terancang dan propaganda jahat untuk membunuh karakter Aman Palestin dan ahli lembaga pengarahnya.

“Perdana Menteri antara individu yang sentiasa menyatakan keperluan untuk membantu mereka yang dizalimi dan tertindas khususnya masyarakat tidak berdosa di Palestin. Genosid. Pembersihan etnik. Jenayah Perang, kata beliau.

“Tetapi di saat Aman Palestin ingin menghantar bantuan penuh berharga pada permulaan musim sejuk kepada Palestin, Syria, Lubnan, Yaman dan kawasan-kawasan terjejas sekelilingnya yang dianggarkan RM10 juta, akaun Aman Palestin dibekukan.

“SPRM perlu menjawab semua persoalan ini. Mengapakah akaun kutipan dana untuk bantuan kemanusian dibekukan?

“Mengapakah tindakan ini diambil hanya sehari selepas Aman Palestin mengumumkan penyaluran wang untuk Kempen Bantuan Musim Sejuk dan semasa gencatan senjata diisytiharkan? Bagaimanakah wang derma, sumbangan rakyat dan individu-individu dikategorikan sebagai hasil aktiviti haram?” soalnya.