Mydin peruntukan RM10 juta, raikan Ramadan dan Syawal

SUBANG JAYA - Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) memperuntukkan lebih RM10 juta untuk menjayakan kempen Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat ketika musim perayaan.
Pengarah Urusannya, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, menerusi kempen itu, pihaknya menawarkan harga berpatutan dengan pelbagai promosi menarik termasuk baju Melayu dan baju kurung pada harga serendah RM30.

Menurutnya, usaha penjimatan itu diperkukuh menerusi kerjasama bersama Boost Bank yang menawarkan potongan harga RM10 bagi pembelian baju raya dan pulangan tunai dua peratus khusus kepada pemegang akaun baharu, selain diskaun tambahan RM5 untuk perbelanjaan minimum RM100 menggunakan e-dompet Boost.
"Gabungan harga asas yang rendah dan ganjaran digital ini memberi manfaat berganda kepada pengguna khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah," katanya ketika ditemui semasa sidang media selepas majlis pelancaran kempen berkenaan.
Kempen itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Ameer berkata, Mydin turut meneruskan penganjuran program berbuka puasa beramai-ramai Jelajah Iftar Sinar Mydin dengan skala lebih besar melibatkan sembilan cawangan di seluruh negara.
Selain itu, katanya, sebanyak 45,000 bekas bubur lambuk percuma akan diagihkan menerusi program Kongsi Rasa Ramadan dari 21 Februari hingga 14 Mac depan di 33 cawangan terpilih dengan sokongan rakan strategik antaranya 100PLUS, Adabi, Ayam Brand, Faiza, Maggi, Gas Malaysia, Indra Valley, Emborg, Kawan, Trichy dan Ramly.
Dalam pada itu, Mydin juga menyediakan bazar Ramadan secara dalaman di pasar raya besar bagi memastikan suasana membeli-belah yang lebih selesa dan teratur, selain menawarkan lebih 100 jenis juadah termasuk Menu Rahmah sebagai pilihan mampu milik kepada pengunjung.
Mydin sasar agihan 50,000 Kotak SARA Rahmah
Mengulas lanjut, Ameer berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mydin diteruskan menerusi Kotak SARA Rahmah bernilai RM100 yang membolehkan pelanggan menyumbang barangan keperluan asas kepada golongan memerlukan melalui konsep beli dan derma.

"Ini adalah pelaksanaan kali kedua selepas sambutan positif sebelum ini dan bagi edisi Ramadan dan Syawal, kandungan kotak disesuaikan dengan keperluan bulan puasa dan persiapan raya termasuk barangan makanan asas serta produk tempatan IKS dan PKS," tambah beliau.
Menurut Ameer, Mydin menyasarkan sehingga 50,000 kotak dapat diagihkan bergantung kepada sambutan orang ramai sama ada untuk diserahkan sendiri kepada penerima atau melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan wakil rakyat.
Dalam pada itu, katanya, Mydin turut memperuntukkan sumbangan tunai RM20,000 bagi menyokong pengagihan kotak makanan kepada golongan memerlukan, selain bekerjasama dengan 38 pembekal menerusi inisiatif Mydin Prihatin untuk mengumpul dana kebajikan.
Menerusi ganjaran kepada pelanggannya, Ameer berkata, Mydin menawarkan pelbagai peraduan menarik dan pelanggan berpeluang memenangi sebuah Proton e.MAS, perjalanan balik kampung percuma, hadiah supermarket sweep bernilai RM1,000, pas perjalanan KTMB serta kredit petrol dengan nilai keseluruhan hadiah mencecah ratusan ribu ringgit.
Dalam pada itu, mengenai isu penurunan harga barangan susulan pengukuhan nilai ringgit, Ameer berkata, Mydin mengamalkan kaedah penetapan harga secara langsung berdasarkan kos semasa.
"Apabila kos import menurun, harga jualan akan diselaraskan serta-merta dan menyebabkan ada produk dijual lebih rendah berbanding sebelum ini. Penurunan itu dapat dilihat terus di rak pasar raya,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal menerusi platform media sosial rasmi Mydin atau mengunjungi cawangan berhampiran.
Keperluan hari raya
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, usaha Mydin dalam membantu rakyat yang memerlukan menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri perlu dicontohi oleh pihak swasta lain.

“Mydin menyediakan pelbagai keperluan hari raya yang lengkap dengan menawarkan harga mampu milik. Ia dekat di hati rakyat," katanya.
Ahmad Zahid berharap inisiatif itu bukan sahaja memberi keberkatan, malah turut meringankan beban rakyat supaya mereka dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

