Dana Aman Palestin tidak boleh dikeluar hingga siasatan selesai - Azam Baki

Azam - Foto Bernama
Azam - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menjelaskan dana Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) yang dibekukan tidak boleh dikeluarkan sehingga siasatan diselesaikan.

Menurutnya, siasatan terhadap akaun Aman Palestin ketika ini adalah serius kerana membabitkan kepentingan awam.

"Berhubung akaun Aman Palestin yang dibekukan, SPRM masih menyiasat kesahihan transaksi dan tuntutan sebelum ini," katanya pada Jumaat.

Pada Khamis, media tempatan melaporkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa SPRM seharusnya membenarkan wang itu disalurkan kepada rakyat Palestin dan penduduk lain di Semenanjung Arab bagi menghadapi musim sejuk, walaupun badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan masih dalam siasatan.

Mengulas lanjut, kata Azam, dalam isu berkenaan, SPRM tidak boleh begitu sahaja mengeluarkan dana tersebut sehingga semua siasatan selesai, termasuklah penjelasan diperoleh berhubung penggunaan terhadap derma awam berjumlah jutaan ringgit.

Jelas Azam, siasatan terhadap Aman Palestin perlu dijadikan teladan bagaimana derma awam digunakan.

"Sebagai badan penguatkuasaan antirasuah utama, SPRM memandang serius kes ini kerana ia adalah kepentingan awam.

"Ia berkemungkinan akan menjadi contoh bagaimana derma awam boleh dan tidak boleh digunakan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 November lalu, Sinar Harian melaporkan SPRM mengesahkan telah membekukan sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilai RM15,868,762.00 hasil siasatan yang dijalankan sejak 17 Oktober lalu.

Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menyiasat dakwaan salah guna wang sumbangan orang ramai.

SPRM turut melakukan penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu selain telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting bagi siasatan lanjut.

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) serta Kanun Keseksaan (Akta 574).