Larangan merokok: 27 kompaun dikeluarkan di Pulau Pinang

Dr Asmayani meninjau premis makanan di sekitar kawasan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pagi tadi.
Dr Asmayani meninjau premis makanan di sekitar kawasan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 27 notis kesalahan telah dikeluarkan terhadap individu yang didapati merokok di tempat makan di negeri ini dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib berkata, seorang pengusaha premis makanan turut dikenakan kompaun selepas didapati gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

"Perokok yang dikesan gagal mematuhi peraturan mula dikuatkuasakan bermula semalam akan dikenakan kompaun sebanyak RM250 dan perlu dijelaskan dalam tempoh satu bulan.

"Walaupun kempen larangan merokok di tempat makan dilaksanakan sejak tahun lalu namun masih ada perokok yang memberi alasan tidak tahu mengenai penguatkuasaan itu," katanya.

Seorang peniaga menampal notis larangan merokok di kedainya.
Seorang peniaga menampal notis larangan merokok di kedainya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Operasi Penguatkuasaan Tempat Makan Sebagai Kawasan Larangan Merokok pagi tadi.

Menurutnya, perokok mungkin sukar meninggalkan tabiat mereka tetapi boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma di klinik atau hospital kerajaan untuk berhenti merokok.

"Sebanyak 396 premis makanan di negeri ini diperiksa membabitkan seramai 93 anggota penguatkuasa daripada Cawangan Inspektoran dan Perundangan.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah menggerakkan beberapa pasukan pegawai penguat kuasa untuk melakukan pemantauan di setiap daerah termasuk satu pasukan di pintu masuk antarabangsa di negeri ini," katanya.

Dr Asmayani berkata, tiada sebarang notis dikeluarkan pada hari kedua dan beliau yakin orang ramai mula sedar mengenai penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan yang bermula semalam.