Jenteri PEDi, MPP, ahli Parlimen bantu rakyat daftar PADU - Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika ditemui pemberita selepas meninjau Jualan Termurah "Khidmat Demi Rakyat" anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai di Tapak Parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, pada Sabtu. Foto Bernama
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika ditemui pemberita selepas meninjau Jualan Termurah "Khidmat Demi Rakyat" anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai di Tapak Parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) akan digerakkan bagi membantu masyarakat membuat pendaftaran dan mengemas kini maklumat dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, selain itu, Ahli Parlimen juga boleh menggerakkan jentera mereka dalam menggalakkan lagi proses pendaftaran PADU bagi mencapai sasaran 29 juta warganegara Malaysia mendaftar PADU menjelang 31 Mac depan.

"Kita ada mekanisme contohnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kita ada MPP dan tempat lain juga ada struktur sama. Jadi selain PEDi, jentera-jentera ini boleh dikerahkan untuk bantu komuniti,” katanya selepas meninjau Program Jualan Termurah, Berkhidmat Untuk Rakyat di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini pada Sabtu.

"Saya lihat mungkin perlu ada sesi pendidikan atau latihan yang boleh diberikan, tempohnya baharu sahaja seminggu dibuka, yang celik teknologi maklumat mungkin sudah berjaya isi tetapi untuk capai sasaran menjelang hujung Mac, saya lihat bukan hanya bergantung pada PEDi tetapi Ahli Parlimen juga boleh main peranan,” katanya.

Ditanya sama ada pendaftaran melalui borang akan diwujudkan susulan berlakunya kesesakan di PEDi bagi tujuan memudahkan warga emas mendaftar, Fahmi menegaskan pendaftaran melalui kaedah borang tidak akan diwujudkan kerana ia akan menambahkan kerja.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kenyataan seorang aktivis politik yang berharap bahawa PADU tidak dijadikan bahan kempen ketika Pilihan Raya Umum ke-16 kelak, Fahmi berkata, PADU tidak akan disalah guna.

"Kalau sebelum ini ada pihak salah guna (program kerajaan), namun kita tidak berhasrat untuk melakukan perkara sama. Cara kita berkempen berbeza Insya-Allah tidak akan menyalahgunakan (PADU).

"Fungsi PADU memberi peluang kepada rakyat memasukkan data peribadi mereka secara ’hampir waktu nyata' dengan manfaat utamanya adalah bagi yang memerlukan bantuan, sokongan termasuk pemberian subsidi, itulah fungsi utamanya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa ‘Langkah Dubai’ akan menjadi realiti, Fahmi berkata sebaiknya Muhammad Sanusi menumpukan kepada pentadbiran negeri.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum dia bercakap mengenai Langkah Dubai, tanya dia apa jadi dengan litar lumba dekat Kedah?, saya rasa daripada dia beri komen tentang ini mungkin dia perlu ubah sikap beliau dahulu hentikan berkaraoke setiap malam dengan perempuan ajnabi.

"Fokus mentadbir, saya rasa ada isu yang kita mula lihat sama ada isu nadir bumi atau yang terkini dan sensasi adalah masalah Kedah FC, saya rasa beliau mempunyai lebih banyak masalah. Dia bukan Ahli Parlimen, jadi fokus pada tugas masing-masing,” katanya.

Pada 30 Disember lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin pembangkang termasuk daripada pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penyelarasan dan rombakan J-KOM, Fahmi berkata perkara itu perlu melihat kepada fungsi jabatan itu sendiri dan setakat ini ia sedang diteliti.

"Saya jangka mungkin dalam bulan dua, beri sedikit masa. Saya melihat ada beberapa fungsi diperlukan, itu antara sebab kenapa kita hendak buat penyelarasan dan rombakan, kerana ia kelak perlulah berbeza daripada apa yang diusahakan sebelum ini,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden Gerakan Dominic Lau yang mahu agar J-KOM ditutup agar dapat menjimatkan duit pembayar cukai, Fahmi berkata, Lau mempunyai hak untuk menyatakan pendapatnya.

"Dia berhak memberi pandangan, kalau dia minta tutup J-KOM, saya tidak boleh tutup mulut dia, dia boleh sampaikan pandangannya,” katanya. - Bernama