Lelaki tumbuk, pukul kakak ipar dijel 14 hari, denda RM2,000

Pekerja pembersihan dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Tampin pada Jumaat selepas mengaku bersalah mencederakan kakak iparnya Disember tahun lalu.
Pekerja pembersihan dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Tampin pada Jumaat selepas mengaku bersalah mencederakan kakak iparnya Disember tahun lalu.
A
A
A

TAMPIN - Seorang pekerja pembersihan dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Tampin pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan kakak iparnya dalam kejadian Disember tahun lalu.

Majistret Kartini Kasran menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh, Muhammad Syahmi Mohd Bakri, 30, dari Johol, Kuala Pilah selepas dia membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dikenakan empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Syahmi dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas kakak iparnya yang berusia 39 tahun dengan cara menumbuk dan memukul menggunakan tangan.

Ia menyebabkan wanita berkenaan cedera di bahagian telinga, kulit sebelah kiri kepala, lebam mata kanan serta tengkuk, sakit pada bahagian tulang belakang, lebam pada bahagian kaki kanan serta kiri dan lebam pada bahagian pinggul.

Perbuatan tertuduh itu dilakukan kria-kira jam 11.30 pagi, pada 24 Disember lalu di sebuah rumah di Taman Indah, Tampin.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Amirul dalam hujahnya mahu mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal disebabkan perbuatannya itu menyebabkan wanita berkenaan mengalami kecederaan di seluruh badan.

"Tertuduh juga tidak boleh mendahului undang-undang dengan mengambil tindakan sendiri sehingga mencederakan wanita itu apatah lagi isu keluarga adalah di bawah bidang kuasa syariah dan sewajarnya ia diserahkan kepada pihak berkuasa," katanya.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku di ruang tamu rumah selepas berlaku selisih faham di antara tertuduh dengan kakak iparnya berkaitan masalah keluarga.